Tindakan menjadikan bantuan sebagai umpan untuk mendapatkan keahlian parti disifatkan tidak beretika dan boleh menyebabkan rakyat semakin menjauhi parti yang menjadikan bantuan sebagai ‘barang dagangan’ demi meraih sokongan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Sharkar Shamsudin berkata, amalan seumpama itu tidak pernah dilakukan Umno, khususnya di Pahang.
"Sebagai contoh, kerajaan Pahang sentiasa mengagihkan bantuan tanpa meletakkan syarat perlu masuk Umno baru layak terima (bantuan).
"Melalui pelbagai program disusun oleh kerajaan negeri yang diterajui Umno, tidak pernah berlaku lagi pihak kami mengarahkan penduduk menyertai parti ini.
"Bagi pandangan sayalah, bab bantuan ini memang dah jadi tanggungjawab kita bila jadi kerajaan, tapi bila letak syarat tertentu, kena jadi ahli parti, memang tak kenalah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini di Kuantan, hari ini.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang itu mengulas mengenai insiden di perkampungan Cenderawasih, dekat Kuantan, pagi Ahad lalu.
Dalam kejadian itu beberapa penduduk mendakwa menerima One-Time Password (OTP) melalui sistem pesanan ringkas untuk mengakses laman web ADIL bagi pengesahan keahlian PKR selepas mengambil kotak bantuan daripada petugas Pusat Komuniti Madani Indera Mahkota.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Siti mendakwa penerima bantuan tidak dimaklumkan bahawa mereka akan didaftarkan sebagai ahli PKR.

Bagaimanapun, Pengurus Pusat Komuniti Madani Indera Mahkota, Saifulzaman Mahmood menafikan dakwaan itu menerusi komen di Facebook dan berkata perkara tersebut telah dimaklumkan lebih awal kepada penerima.
Mohd Sharkar berkata, sokongan kepada mana-mana parti tidak boleh dipaksa dan rakyat bebas memilih parti yang mereka sokong.
"Dalam bab sokongan ini, kita tidak boleh nak paksa, kalau dia suka parti itu, dia sukalah, kalau tak suka, kita buat macam mana pun tak ada gunanya.
"Sebab itu, Umno tidak pernah memaksa sesiapa menyertai parti kami, rakyat boleh buat pilihan mana yang baik untuk mereka, biar mereka pilih.
"Kita (Umno) pun tidak periksa setiap penerima (bantuan) itu sokong kita, ahli parti kita atau tidak. Macam bantuan 'Perantau Anak Pahang' yang kerajaan negeri buat, mereka ini orang Pahang tapi menetap dan bekerja di luar Pahang, semua yang layak kita bagi tanpa kita siasat ini orang Umno atau tidak," jelasnya.

Dia juga berharap perkara seumpama itu tidak berulang di Pahang kerana boleh menjejaskan keharmonian negeri.
Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Pahang turut mengecam tindakan menjadikan bantuan sebagai platform mendaftarkan penerima sebagai ahli parti tanpa pengetahuan mereka.
Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, bantuan kepada rakyat adalah amanah yang perlu disalurkan berdasarkan keperluan, bukan dijadikan pertukaran terselindung untuk mendapatkan sokongan atau keahlian politik.
"Kita tidak mahu rakyat yang datang kerana memerlukan bantuan akhirnya berasa mereka ‘membayar’ bantuan itu dengan maklumat peribadi atau keahlian yang tidak dipersetujui," katanya.
Dia menegaskan isu itu bukan soal PAS, PKR atau Umno, sebaliknya berkaitan prinsip, maruah rakyat dan ketelusan dalam berpolitik.
"Keahlian parti sepatutnya lahir daripada kesedaran dan kerelaan, bukan kerana habuan bantuan," ujarnya.





