Kualiti udara di 11 kawasan di seluruh negara berada pada tahap tidak sihat setakat jam 9 pagi ini, dengan Sarawak mencatatkan bilangan terjejas paling tinggi.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), Samarahan merekodkan bacaan indeks pencemar udara (IPU) paling tinggi, iaitu 183; diikuti Serian (182), Kuching (176), Sarikei dan Sri Aman (158), manakala Mukah dan Sibu masing-masing mencatat bacaan 152.
Di Semenanjung Malaysia, empat kawasan mencatat bacaan tidak sihat iaitu Johan Setia (154) dan Shah Alam (101) di Selangor, selain Kuala Lumpur (131) dan Putrajaya (104).
Sementara itu, 55 kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana (51 hingga 100), manakala dua kawasan lagi mencatatkan tahap kualiti udara baik (bawah 50).
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik, manakala 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300, berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.





