32.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, August 13, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Keluar Dewan: Pembangkang berhak, tapi harus ada akauntabiliti – Ahli akademik

    Shopee Sale

    Pembangkang berhak menggunakan tindakan keluar Dewan sebagai bentuk protes politik, namun tindakan itu perlu disertai akauntabiliti terhadap tanggungjawab mereka sebagai Ahli Parlimen, kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban, Dr Mazlan Che Soh.

    Mazlan berkata, akauntabiliti ahli parlimen tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan rekod kehadiran, sebaliknya turut merangkumi penyertaan dalam pengundian, perbahasan dan jawatankuasa pilihan.

    "Prinsipnya mudah, hak untuk membantah mesti dipertahankan, tetapi tanggungjawab untuk hadir, berbahas dan mewakili rakyat juga mesti mempunyai nilai akauntabiliti.

    "Wakil rakyat menerima mandat dan saraan daripada wang awam. Maka rakyat berhak mengetahui bukan sahaja bagaimana mereka mengundi, tetapi sejauh mana mereka benar-benar melaksanakan tanggungjawab di Parlimen," katanya kepada Malaysiakini.

    Mengulas tindakan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan ketika persidangan khas membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, Mazlan berkata tindakan walkout tidak semestinya melanggar Peraturan Mesyuarat kerana ia boleh menjadi bentuk protes politik.

    Namun, katanya, tindakan itu perlu dinilai dari sudut tanggungjawab wakil rakyat, khususnya apabila Dewan sedang membincangkan isu berkepentingan awam.

    "Apabila Dewan sedang membincangkan laporan RCI yang menyentuh soal tadbir urus, akauntabiliti dan kepentingan jutaan pendeposit Tabung Haji, ruang terbaik untuk pembangkang sebenarnya ialah berada di dalam Dewan membangkitkan kelemahan laporan, mencabar penjelasan kerajaan, mengemukakan soalan yang sukar dan memastikan pendirian mereka direkodkan dalam Hansard.

    "Memang pembangkang mempunyai alasan tersendiri kerana mahukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir dan mereka berhak mempersoalkan perkara itu. Tetapi ketidakhadiran Perdana Menteri tidak semestinya menghilangkan fungsi Dewan apabila menteri-menteri yang bertanggungjawab masih hadir," katanya.

    Menurut Mazlan, pembangkang bukan sekadar institusi yang membantah kerajaan, malah turut mempunyai tanggungjawab untuk berada dalam Dewan dan menggunakan setiap ruang yang ada untuk mempertanggungjawabkan kerajaan.

    "Jadi dari sudut itu, saya melihat peluang untuk melakukan semak dan imbang yang lebih substantif telah terlepas," katanya.

    Potong elaun

    Mazlan turut mencadangkan rekod kehadiran, pengundian, perbahasan dan penyertaan dalam jawatankuasa diterbitkan secara lebih sistematik supaya mudah dinilai rakyat.

    Bagi ketidakhadiran tanpa alasan munasabah, katanya, potongan elaun secara pro rata boleh diperkenalkan, manakala penalti lebih berat hanya dipertimbangkan bagi keculasan berulang dan kronik.

    MENARIK:  Dr M dirawat di IJN akibat batuk

    "Namun saya fikir wajar dibincangkan satu reformasi yang menghubungkan sebahagian saraan, faedah atau kelayakan jangka panjang seseorang Ahli Parlimen dengan tahap kehadiran dan pelaksanaan tanggungjawabnya.

    "Jika kerajaan dan Parlimen mahu menghubungkan pencen atau faedah persaraan dengan rekod kehadiran, perkara itu perlu dibuat melalui kerangka perundangan yang jelas, telus dan terpakai secara sama rata kepada kerajaan serta pembangkang," katanya.

    Sementara itu, Mazlan menyifatkan tindakan Ahli Parlimen yang keluar Dewan tetapi kemudian membahaskan isu sama di media sosial sebagai sesuatu yang janggal.

    "Kalau hujah itu boleh dikemukakan selepas keluar Dewan menerusi Facebook, TikTok atau X, masyarakat tentunya berhak bertanya mengapa hujah yang sama tidak dikemukakan terlebih dahulu di dalam Dewan," katanya.

    Pada Selasa, sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan Rakyat ketika persidangan khas membincangkan RCI Tabung Haji selepas Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan mencadangkan mesyuarat ditangguhkan susulan ketidakhadiran Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, yang masing-masing dirawat akibat masalah kesihatan.

    Persidangan khas itu diadakan bagi mendengar penerangan menteri mengenai Laporan RCI Tabung Haji serta tindakan kerajaan susulan penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.

    Selepas keluar Dewan, beberapa Ahli Parlimen pembangkang menggunakan media sosial untuk menjelaskan pendirian mereka.

    Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden mendakwa kerajaan tidak serius mengambil tindakan terhadap isu RCI Tabung Haji kerana sidang khas itu hanya berlangsung dalam bentuk sesi penerangan menteri tanpa usul khusus.

    "Tetapi hari ini hanya ada sesi penerangan menteri. Menteri bersyarah beritahu apa yang dia dah buat. Ahli Parlimen tanya, menteri jawab. Habis setakat itu sahaja," katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa lalu.

    Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata pembangkang tidak berniat mengelak daripada membahaskan laporan berkenaan, sebaliknya mahu perbahasan dilakukan secara lebih menyeluruh dengan kehadiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah