32.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, August 13, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    SURAT | Haji Hadi menjual ‘hantu’

    Shopee Sale

    Politik Malaysia digemparkan dengan tulisan terbaru presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang mendakwa kononnya DAP memimpin PH untuk “menyambung kerja penjajah menghapuskan Melayu-Islam”.

    Tulisan itu membawa naratif politik ketakutan yang amat berbahaya, melampau dan membawa kepada kebencian serta permusuhan.

    Hadi membina sembilan gambaran ancaman penjajah masih ada ejennya, DAP pewaris PAP, Amanah dan Melayu dalam PH menjadi alat DAP, Islam dan Melayu sedang dihakis, al-Quran dijadikan amaran terhadap lawan politik, penyatuan PAS-Umno sebagai penyelamat, Melayu sebagai “tuan” yang mesti memimpin dan akhirnya Melayu kononnya akan hilang jika tidak bersatu mengikut acuan beliau.

    Jawapan saya mudah wahai Pak Haji Hadi.

    1. DAP sambung kerja penjajah?

    Kalau Melayu dan Islam sedang dihapuskan, apa sudah jadi kepada Islam sebagai agama Persekutuan, raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan Melayu dalam Perlembagaan?

    Jangan jadikan rumah yang masih kukuh seolah-olah sudah terbakar hanya untuk menakutkan penghuninya.

    2. Penjajah tinggalkan ejen?

    Jangan kerana berbeza politik, semua orang dijadikan ejen musuh.

    Hari ini DAP, esok Amanah, lusa sesiapa yang tidak setuju dengan PAS pula dituduh pengkhianat.

    Kalau semua yang tidak ikut PAS dianggap musuh, PAS bukan sedang menyatukan umat tetapi PAS sedang membelah umat.

    3. DAP sama dengan PAP dan ancaman seperti Singapura?

    Jangan bawa hantu Singapura untuk menakutkan Melayu Malaysia.

    Malaysia ada Perlembagaan, raja-raja Melayu, kedudukan Islam dan institusinya sendiri.

    Pak Haji janganlah tukar sejarah menjadi filem seram politik setiap kali mahu menakutkan rakyat.

    4. Amanah dan Melayu PH alat DAP?

    Ini penghinaan kepada akal orang Melayu.

    Kalau bersama PAS, Melayu dikatakan sedar.

    Kalau bersama Amanah atau PH, Melayu dikatakan jahil, hilang tabii dan dipergunakan.

    Siapa beri Pak Haji dan PAS lesen menentukan siapa Melayu sebenar dan siapa Islam sebenar?

    Islam bukan milik PAS. Melayu juga bukan harta pusaka PAS.

    5. Islam, raja-raja dan bahasa Melayu sedang dihapuskan?

    Jangan bunyikan siren kecemasan politik setiap kali nak menghadapi pilihan raya.

    Mempertahankan Islam bukan dengan menakut-nakutkan umat bahawa Islam akan hilang setiap hari.

    Islam menjadi kuat dengan keadilan. Melayu menjadi kuat dengan ilmu. Negara menjadi kuat dengan perpaduan.

    6. Menggunakan ayat al-Quran untuk membina gambaran lawan politik sebagai musuh.

    Al-Quran ialah petunjuk, bukan peluru untuk ditembak kepada lawan politik.

    Jangan kerana seseorang berbeza dengan PAS, terus diletakkan dalam gambaran musuh Islam.

    Politik boleh berbeza, tetapi jangan berpolitik sampai memecahkan akidah persaudaraan dan memusnahkan perpaduan rakyat.

    7. PAS-Umno mesti bersatu untuk menyelamatkan Melayu?

    Saya setuju Melayu perlu bersatu.

    Tetapi bersatu untuk apa?

    Untuk ilmu? Ekonomi? Teknologi? Membasmi rasuah? Meningkatkan pendidikan anak Melayu?

    Atau sekadar bersatu untuk membahagi kerusi, mengumpul kuasa dan menjatuhkan lawan?

    Kalau perpaduan Melayu hanya menjadi kuat apabila ada kaum lain untuk ditakutkan, itu bukan perpaduan. Pak Haji nak menubuhkan persekutuan ketakutan.

    MENARIK:  Op Sky: SPRM bekukan RM22 juta dari 98 akaun bank

    8. Melayu ialah tuan dan mesti memimpin?

    Kepimpinan Melayu tidak akan menjadi hebat hanya kerana lahir sebagai Melayu.

    Kalau cukup sekadar lahir Melayu untuk menjadi pemimpin, maka tidak perlulah ilmu, integriti dan prestasi.

    Melayu akan dihormati bukan kerana orang lain dipaksa tunduk.

    Melayu akan dihormati kerana Melayu memimpin dengan ilmu, keadilan dan kehebatan.

    9. Kalau tidak ikut formula PAS, Melayu akan hilang?

    Inilah candu politik ketakutan.

    Melayu tidak akan hilang kerana bekerjasama dengan kaum lain. Melayu tidak akan hilang kerana berubah. Melayu akan mundur apabila terus takut kepada perubahan.

    Musuh sebenar Melayu ialah kemiskinan, rasuah, kejahilan, keciciran pendidikan dan kepimpinan yang gagal membawa perubahan.

    “Haji Hadi seperti bomoh yang mula-mula memberitahu orang kampung ada hantu, kemudian menawarkan diri menjual tangkal.”

    Mula-mula rakyat ditakutkan bahawa Melayu sedang diancam. Selepas itu, rakyat diberitahu: hanya kalau ikut PAS, baru Melayu selamat.

    Orang Melayu harus bertanya satu soalan besar pada Pak Haji Hadi.

    Selama puluhan tahun Melayu disuruh takut kepada musuh, tetapi siapa pula yang mengajar Melayu menguasai masa depan?

    Siapa mengajar Melayu menguasai AI?

    Siapa membawa Melayu ke ekonomi baharu?

    Siapa membina keyakinan anak Melayu untuk bersaing dengan dunia?

    PAS mahu Melayu sibuk mencari musuh. Kami mahu Melayu sibuk membina masa depan.

    Pak Haji! Dulu masa Pak Haji kata Umno kafir, DAP suruh? Masa PAS cium dengan Umno, DAP tak marah. Selepas itu Pak Haji jatuh hati dengan Bersatu, bercerai dengan Umno, bukan DAP yang hasut. Pak Haji dan PAS bergaduh dengan Muhyiddin Yassin dan Bersatu pakat maki hamun, bukan DAP yang atur. 

    Sekarang bila Pak Haji bercerai dengan Bersatu walaupun masih duduk serumah, bukan DAP yang ajar Pak Haji. Dan kini bila Pak Haji nak rujuk balik dengan Umno, tiba-tiba Pak Haji menjerit beritahu semua orang DAP sedang mengusik. Sebenarnya Pak Haji yang membela.

    Pak Haji menjual hantu (ketakutan). Kami menawarkan keyakinan. Pak Haji mahu Melayu menoleh ke belakang mencari musuh. Kami mahu Melayu melihat ke hadapan mencari peluang.

    Pak Haji, Jangan jadikan Melayu bangsa yang hidup dengan ketakutan. Jadikan Melayu bangsa yang dihormati kerana ilmu, ekonomi dan kehebatannya.

    Pemimpin yang hebat tidak membesarkan ketakutan rakyat. Pemimpin yang hebat membesarkan keyakinan rakyat.

    Orang yang mahu Melayu sentiasa takut sebenarnya tidak mahu Melayu terlalu yakin. Kerana Melayu yang yakin akan bertanya, akan berfikir dan akan menuntut perubahan.

    Sudah tiba masanya kita berhenti menjadi pelanggan politik ketakutan dan menjadi pemilik masa depan.

    Daripada politik takut, kita bangkit. Daripada mencari musuh, kita bina masa depan.


    MAHFUZ OMAR adalah naib presiden Amanah.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah