31.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, August 12, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    NGO, individu gesa k’jaan utamakan reformasi institusi hingga tamat penggal

    Shopee Sale

    Sekumpulan organisasi masyarakat sivil dan individu hari ini menggesa supaya Parlimen sedia ada berkhidmat sehingga tamat tempoh penuh pada 18 Disember tahun depan.

    Menurut mereka, ini bagi merealisasikan sebanyak mungkin reformasi institusi yang diperlukan untuk memperkukuh demokrasi dan tadbir urus negara.

    Menurut kenyataan media bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu berkenaan hari ini, Parlimen sedia ada wajar melengkapkan penggalnya kecuali jika kerajaan kehilangan kepercayaan majoriti anggota parlimen.

    "Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus menganjurkan sidang kemuncak pemimpin rentas parti yang dianggotai semua parti kerajaan dan pembangkang yang mempunyai perwakilan di Parlimen bagi merangka agenda bersama untuk baki penggal Parlimen ke-15," menurut kenyataan itu.

    Berikut kenyataan penuh itu:

    Parlimen ke-15 wajar lengkapkan penggalnya demi merealisasikan reformasi berdasarkan perkembangan terkini, kami kumpulan dan individu yang menandatangani kenyataan ini ingin membuat gesaan berikut:

    Bahawa Parlimen ke-15 harus berkhidmat sehingga tamat penggalnya pada 18 Disember 2027, melainkan berlaku kehilangan kepercayaan Parlimen, demi merealisasikan sesebanyak mungkin reformasi yang diperlukan bagi Malaysia memperdalami demokrasi dan menambah baik tata kelola.

    Bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim harus menganjurkan sidang kemuncak pemimpin rentas parti yang dianggotai oleh semua parti kerajaan dan pembangkang yang berperwakilan di Parlimen bagi merangka agenda bersama bagi baki penggal Parlimen ke-15, dengan kredit atas kejayaan merealisasikan reformasi-reformasi ini dikongsi bersama merentas parti dan anggota parlimen, yang merangkumi:

    a. Pindaan Perlembagaan untuk memisahkan perananan Peguam Negara dan Pendakwa Raya (AG-PP);

    b. Pindaan Perlembagaan untuk menetapkan had tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun;

    c. Akta Ombudsman;

    d. Akta Kebebasan Maklumat;

    e. Akta Parlimen bagi menyediakan peruntukan pembangunan kawasan Parlimen (CDF) secara mandatori dan saksama kepada semua anggota parlimen tanpa mengira fahaman politik, dengan ketelusan dan kebertanggungjawaban yang maksimum;

    f. Pengemaskinian Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (Election Offences Act, EOA) untuk mempertingkatkan keyakinan orang awam terhadap proses pilihan raya sebelum Pilihan Raya Umum ke-16;

    g. Penambahbaikan dan perluasan sistem undi pos atau mekanisme undi tidak hadir (absentee voting) yang lain bagi pengundi luar negara dan semua pengundi awam luar negeri;

    h. Perluasan dan pengukuhan jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen bagi memastikan bahawa: (i) setiap kementerian dipantau secara berkesan oleh jawatankuasa tetap atau jawatankuasa khas; (ii) setiap anggota parlimen barisan belakang kerajaan/pembangkang (bukan menteri) mendapat peluang berkhidmat dalam jawatankuasa Parlimen; (iii) setiap jawatankuasa menerima sokongan pentadbiran, kewangan, dan penyelidikan yang mencukupi untuk menjalankan tugas mereka;

    i. Proses penggubalan dan penyemakan belanjawan yang lebih terinstitusi; dan

    j. Saluran yang berkesan untuk Rang Undang-Undang Ahli Persendirian (Private Member’s Bills) dibentangkan, dibahaskan, dan diluluskan.

    Bahawa semua gabungan dan parti – terutamanya pihak yang bercita-cita untuk memimpin dan menyertai Kerajaan Persekutuan akan datang – harus menyokong reformasi di atas yang bakal memberi manfaat kepada mana-mana kerajaan masa hadapan serta mewujudkan medan persaingan yang adil untuk semua parti. Ketua Pembangkang Parlimen Hamzah Zainuddin boleh mengungkapkan agenda reformasi institusi bagi pihak Pembangkang Rasmi untuk baki penggal Parlimen ke-15.

    Bahawa PKR dan DAP harus merakamkan tekad mereka, dalam Kongres/Persidangan pada 15-16 Ogos, untuk memarakan pelaksanaan reformasi yang diperlukan bagi melayan semua parti pembangkang secara adil, serta memastikan persaingan pelbagai parti yang sihat demi mengelakkan pemulihan sistem dominasi satu parti seperti sebelum tahun 2018.

    Kesemua 13 negeri harus menggubal undang-undang bagi mewajibkan peruntukan pembangunan kawasan (Constituency Development Fund, CDF) secara mandatori dan saksama kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tanpa mengira parti, dengan ketelusan dan kebertanggungjawaban yang maksimum;

    Sistem pilihan raya First-Past-The-Post (FPTP) – yang menyebabkan keresahan besar dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya umat Melayu-Islam berhubung kebimbangan kehilangan kuasa dan kepentingan, serta dicemari oleh persempadanan tidak sekata (malapportionment) dan persempadanan berat sebelah (gerrymandering) yang keterlaluan sehingga mengurangkan perwakilan pengundi bandar dan anak muda – harus diubah suai di peringkat negeri dengan memperkenalkan ADUN senegeri (statewide) berasaskan mandat demokratik ala Sistem Perwakilan Berkadar Senarai Parti (Party List-PR) – berbeza dengan ADUN lantikan di Sabah, Pahang, Johor, dan Melaka, atau Terengganu – melalui pakej ciri-ciri berikut:

    a. Mandat pilihan raya dan perwakilan berkadar: Kerusi senegeri akan diagihkan kepada gabungan/parti berdasarkan peratusan undi mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN). Gabungan/parti mesti mengumumkan calon-calon bagi kerusi-kerusi senegeri ini mengikut susunan keutamaan tetap, supaya pengundi boleh mempertimbangkan calon-calon ini semasa mengundi Adun kawasan mereka;

    b. Kuota Gender dan Demografi Lain: Kuota harus diperkenalkan dalam senarai calon gabungan/parti bagi memastikan atau meningkatkan perwakilan wanita, belia, suku Orang Asli/Asal yang kecil bilangan, dan etnik lain yang difikirkan perlu;

    MENARIK:  ULASAN | Mengapa SJKT makin hilang murid?

    c. Jawatankuasa Pilihan (Select Committees): ADUN-ADUN senegeri ini tidak berkhidmat untuk kawasan geografi tertentu, sebaliknya mewakili sektor berasaskan isu atau pemegang taruh di seluruh negeri, dengan aspirasi yang harus disalurkan ke dalam penggubalan undang-undang, dasar, belanjawan, dan semakan kerajaan melalui lebih banyak Jawatankuasa Pilihan di Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri harus membuat pengumuman awal secara bertanggungjawab mengenai tarikh cadangan pembubaran awal jika tidak berhasrat berkhidmat hingga tamat penggal. Ini adalah bagi memudahkan urusan para pengundi dan semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya – seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota polis, penjawat awam, sekolah, parti politik, mahupun pengendali sektor swasta dalam bidang pengangkutan, perhotelan, makanan dan minuman, percetakan dan sebagainya.

    Inisiatif oleh: Project Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA); Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim); The Coalition for Clean and Fair Elections (Bersih); Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center); Gabungan Bertindak Malaysia (GBM); Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas); Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH); dan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram).

    Disokong oleh 44 organisasi masyarakat sivil dan 25 individu:

    Organisasi masyarakat sivil:

    1. Projek Sama
    2. Agora Society Malaysia
    3. All Women’s Action Society (Awam)
    4. Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)
    5. Borneo’s Plight in Malaysia Foundation (BoPiMaFo)
    6. Center to Combat Corruption and Cronyism (C4 Center)
    7. Coalition for Business Integrity Berhad
    8. Demokrat Malaya
    9. Engage
    10. Family Frontiers
    11. G25 Malaysia
    12. Gabungan Bertindak Malaysia (GBM)
    13. Initiative to Promote Tolerance & Prevent Violence (Initiate.my)
    14. Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas)
    15. Justice for Sisters (JFS)
    16. Kuala Lumpur & Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)
    17. Lawyer Kamek
    18. Liga Mahasiswa Universiti Sains Malaysia
    19. LLG Cultural Development Centre
    20. Movement for Change Sarawak
    21. North South Initiative
    22. People Like Us Hang Out! (Pluho)
    23. Persatuan Bertindak Pilihan Raya Bebas dan Saksama (Tindak)
    24. Persatuan India Malaysia Bersepadu
    25. Persatuan Martabat Untuk Semua Petaling Jaya
    26. Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat
    27. Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham)
    28. Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)
    29. Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram)
    30. Pertubuhan Solidaritas
    31. Prison Fellowship Malaysia
    32. Pusat Komas
    33. Ruang Lawan Malaysia
    34. Sabmoz Inc
    35. Save Malaysia Stop Lynas
    36. Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
    37. SIS Forum (Malaysia)
    38. Society for Equality, Respect, and Trust for All Sabah
    39. Tenaganita
    40. The Coalition for Clean and Fair Elections (Bersih)
    41. United Chinese School Committees’ Association of Malaysia (Dong Zong)
    42. University of Malaya Association of New Youth (Umany)
    43. Women’s Aid Organisation (WAO)
    44. Workers Unmuted

    Individu

    1. Abdullah Sani Nawawi (Entrepreneur)
    2. Adrian Pereira (Executive Director, North South Initiative)
    3. Andrew Khoo (Advocate & Solicitor)
    4. Charles Santiago (Former MP for Klang)
    5. Dashran Yohan (Journalist)
    6. Gandipan Nantha Gopalan (Activist)
    7. Ho Yock Lin (Former President, All Women’s Action Society [Awam])
    8. Ivy N Josiah (Former President & Executive Director, Women’s Aid Organisation [WAO])
    9. Jerald Joseph (Former Suhakam Commissioner)
    10. Karen Lai Yu Lee (Activist)
    11. Maria Chin Abdullah (Advisor, Persatuan Martabat Untuk Semua Petaling Jaya)
    12. Mohan Samy (Director, Daya Nurani Sdn Bhd)
    13. Mohansundarram Arumuthu (Chairperson, Persatuan India Malaysia Bersepadu)
    14. Ajwad Khairul Azli (Student, Universiti Sains Malaysia)
    15. Ngeow Chow Ying (Advocate & Solicitor)
    16. Robert Nicholas Hii (Lead, Governance and Leadership Cluster, CSO Platform for Reform)
    17. Saaidah Athman (Retiree, Public Sector)
    18. Sevan Doraisamy (Activist)
    19. Sidneswaran Paramaswaran
    20. Siti Z Kasim (Advocate & Solicitor)
    21. Tan Bun Teet (Chairperson, Save Malaysia Stop Lynas)
    22. Thomas Fann (Former Chairperson, The Coalition for Clean and Fair Elections [Bersih])
    23. Tricia Yeoh (Political Science and Public Policy Analyst)
    24. Wong Chin Huat (Political Scientist)
    25. Zaharom Nain (Aliran/Gerak)

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah