Anggota Nastia, Leo Azman dan Rudy Iskandar mendedahkan mereka sedang berdepan dengan konflik bersama dua lagi ahli kumpulan yang lain iaitu Jenk dan Zach Zainal.
Artikel Berkaitan: Ahli Kumpulan Rabbani Pernah Jadi Pelajar Al-Arqam, Berpecah Selepas Diharamkan – ‘Kami Dipantau Pihak Berkuasa & Sertai Program Pemulihan Akidah’
Punca pihak ketiga?

Ketika ditemui vokalis kumpulan tersebut, Leo Azman tidak dapat menahan air mata apabila mendedahkan tentang permasalahan yang sedang berlaku.
Menurut Leo, Nastia tidak berpecah namun buat masa ini mereka sedang membawa haluan sendiri dan tidak sefahaman.
Kadang-kadang dalam adik-beradik pun mesti ada ketidakfahaman. Bagi saya, perkara itu biasa sahaja. Sebenarnya, tidak ada apa-apa pergaduhan atau maki hamun. Cuma masing-masing mengambil jalan sendiri buat sementara waktu ini. Untuk ke depan, kita tidak tahu bagaimana.
Kami tidak berpecah pun. Mereka sudah tidak bersama kami sejak sebelum Hari Raya tahun ini. Saya juga sudah beritahu mereka mengenai konsert ini dan kami memang menjemput mereka. Cuma untuk tarikh-tarikh berkenaan, kami belum pasti mengenai kelapangan mereka.
Walau bagaimanapun, Leo tetap berharap agar Jenk dan Zach dapat menyertai mereka bagi menjayakan Konsert Nastia Project: Soul Journey yang bakal berlangsung 16 Oktober ini.
Untuk konsert ini pun, kalau boleh saya berharap Jenk dan Zach dapat menyertai kami kerana ini konsert besar selepas tahun 2015. Jadi, hendak kata mereka keluar daripada Nastia, tidak juga.
Menurut Leo, campur tangan pihak ketiga didakwa menjadi punca keretakan hubungan mereka.
Saya akui roh Nastia juga ada pada Jenk dan Zach. Bukan semua pemain dram boleh membawakan gaya seperti Jenk. Jadi, saya memang terkilan.
Boleh kata keadaan ini sedikit sebanyak mempengaruhi mereka sehingga tawar hati untuk menyertai konsert ini. Ada pihak ketiga.
Pihak ketiga itu bukanlah orang yang terlalu rapat. Kalau hendak dikatakan dekat, boleh juga dikatakan dekat, tetapi orang ini baru berada dalam lingkungan atau ‘circle’ Nastia.
Dia bukan orang yang sudah lama mengikuti Nastia. Jadi, bagi saya, perkara itu menjadi antara punca mereka berubah hati.
Leo berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Nastia Project: Soul Journey yang berlangsung di Hotel St. Giles pada Rabu.
Sementara itu, gitaris kumpulan tersebut Rudy turut mengakui dakwaan mengenai pihak ketiga adalah punca utama konflik hubungan mereka, namun enggan mengulas lanjut.
Ada pihak ketiga yang mencucuk. Kami boleh cerita sampai situ sahaja. Ini bukan cerita lama, tetapi perkara yang berlaku baru-baru ini, pada awal tahun ini.
Ruang untuk kembali bersama masih ada kerana kami masih berhubung. Kami juga masih bekerja bersama untuk projek selain Nastia.
Saya bersyukur kerana walaupun kami tidak sehaluan untuk projek ini, kami masih berhubung dan masih boleh bekerjasama.
Buat masa ini, bolehlah dikatakan kami cuma tidak sehaluan untuk projek baharu ini.
Tambah Rudy, pintu untuk Jenk dan Zach menyertai mereka sentiasa terbuka malah dia juga sedang berusaha untuk memujuk mereka kembali bersama.
Saya memang berusaha keras untuk memujuk. Kami masih berhubung, cuma untuk mendapatkan mereka bersama Nastia dalam persembahan kali ini adalah sesuatu yang sangat mencabar.
Kalau hendak bermain dram, sesiapa sahaja mungkin boleh bermain. Tetapi untuk mengisi tempat Jenk, kalau bukan Jenk sendiri, itu satu perkara yang berbeza.
Dalam masa sama, kami tetap membuat persiapan sekiranya Jenk dan Zach memang tidak dapat menyertai konsert ini. Saya tidak menafikan peminat datang kerana mahu melihat pemain dram atau pemain bass kesayangan mereka. Perkara itu memang benar.
Untuk info, Nastia bakal mengadakan konsert tersebut yang akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur. Konsert itu turut menampilkan penyanyi Fynn Jamal dan Amir Jahari.
The post [VIDEO] Tidak Berpecah, Namun Pihak Ketiga Didakwa Jadi Punca Nastia Tak Sehaluan – ‘Memang Terkilan..’ first appeared on OHBULAN!.





