Pemuda DAP (Dapsy) menyoal kegagalan PAS menoktahkan isu perjudian ketika parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, meskipun perkara berkenaan sekian lama menjadi antara perjuangannya.
Setiausaha Kebangsaan Dapsy, Lim Chun Weng berkata PAS ketika itu mempunyai wakil dalam kabinet, termasuk seorang pemimpinnya yang memegang portfolio hal ehwal agama.
Dia berkata PAS tidak sepatutnya memutarbelitkan keputusan mahkamah sehingga menimbulkan gambaran bahawa mengundi parti itu menjadi ukuran keimanan seseorang Islam.
“Orang Islam tetap dilarang berjudi berdasarkan hukum agama dan undang-undang syariah,” katanya pada kenyataan hari ini.

Lim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) bahawa umat Islam “wajib” mengundi PAS bagi memastikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis perjudian dihentikan.
Kata Lim lagi, PAS mempunyai peluang untuk melaksanakan dasar berkaitan perjudian ketika berada di Putrajaya namun gagal berbuat demikian.
Dia turut mengingatkan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad pernah dilantik sebagai menteri hal ehwal agama Islam ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob dari Ogos 2021 hingga Oktober 2022.
“Jika benar umat Islam wajib mengundi PAS supaya parti itu dapat menguasai Putrajaya dan menoktahkan perjudian, mengapa perkara tersebut tidak dilakukan ketika PAS berada dalam kerajaan Persekutuan, malah memegang portfolio bal ehwal agama,” soal Lim.

Katanya, PAS tidak boleh bertindak seolah-olah parti itu tidak pernah mempunyai kuasa di peringkat persekutuan kerana pernah mempunyai wakil dalam kabinet dan berpeluang mengemukakan cadangan pindaan terhadap undang-undang berkaitan perjudian.
Malah, katanya kekerapan cabutan khas nombor ramalan meningkat daripada lapan kepada 22 kali setahun ketika PAS berada dalam kerajaan Persekutuan.
“Jika PAS benar-benar tidak bersetuju, mengapa mereka terus kekal dalam kerajaan,” soalnya.
Semalam, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan yang membatalkan arahan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen premis judi.

Susulan itu, Ketua Penerangan DUPP, Mohd Nor Hamzah (gambar atas) menegaskan keputusan mahkamah tertinggi negara itu secara faktanya menunjukkan bahawa urusan perjudian terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan bukannya kerajaan negeri.
"Ini membuktikan bahawa kerajaan PAS di peringkat negeri kini telah berhabis daya, tenaga, dan menggunakan semaksimum mungkin ruang perundangan yang ada bagi menyekat kemungkaran ini.
“Segala usaha telah digembling hingga ke titik batas kuasa (limitasi) di peringkat negeri," katanya.
Dalam pada itu, Lim berkata meskipun perjudian haram bagi umat Islam namun ia tidak bermakna PAS berhak memonopoli agama atau mendakwa umat Islam wajib mengundi parti berkenaan.

“Saya bukan beragama Islam dan saya tidak berhasrat mencampuri urusan hukum-hakam Islam.
"Namun, sebagai rakyat Malaysia, saya berhak mempersoalkan percanggahan antara kenyataan politik PAS hari ini dengan rekodnya ketika berkuasa,” katanya.
Jelas Lim, keputusan mahkamah dalam kes membabitkan kerajaan Kedah hanya menyentuh bidang kuasa kerajaan negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak bermaksud perjudian dihalalkan kepada umat Islam.
Menurutnya lagi, aktiviti perjudian haram, perjudian dalam talian dan sindiket perjudian perlu ditangani menerusi penguatkuasaan undang-undang yang tegas, pendidikan awam serta dasar yang berkesan.





