
Mengakui masih trauma, penyanyi dan pelawak, Joey Daud akhirnya kembali dengan lagu terbaharunya yang berjudul ‘Wamwamsam’.
Joey masih fobia

Ketika ditemui , Joey atau nama lengkapnya Zulkifli Daud berkata, kejadian dua albumnya di bawah naungan syarikat Luncai Emas Sdn. Bhd yang diban 30 tahun lalu menyebabkan dirinya fobia untuk menghasilkan lagu baharu.
Ujar Joey, jika lagu ini kurang mendapat sambutan, dia berkemungkinan berhenti menyanyi di masa akan datang.
Lama dah sebenarnya saya tak keluarkan lagu. Kali terakhir saya keluarkan lagu adalah 30 tahun lalu.
Sejujurnya berdebar juga nak keluarkan lagu ini sebab tak tahulah orang akan terima atau tidak. Usia saya pun sudah meningkat tua.
Dan mungkin kalau tak boleh ‘go’ lagu ini, ini adalah (lagu) yang terakhir saya nak buat.
Rasa fobia masih ada sebab sebelum ini kalau keluar, baru seminggu dua saja asyik kena ban.
Pernah juga masuk market Indonesia dan Alhamdulillah terjual 800,000 unit tapi ketika itu berlakunya rusuhan, habis semuanya dibakar.
Joey berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya yang berjudul ‘Wamwamsam’ yang diadakan di Sky Ark, Kuala Lumpur, pada Selasa.
M. Nasir dan isteri banyak memujuk

Ketika ditanya mengenai sumber kekuatan, pelawak berusia 52 tahun itu berkata pujukan isterinya dan Datuk M. Nasir menjadi sumber kekuatan untuknya kembali bernyanyi.
Kalau ikutkan tak ada kekuatan lagi untuk hasilkan lagu tetapi Sifu (M. Nasir) dan isteri yang banyak memujuk.
Dia kata ‘why not’ kan? Mereka berdua jadi tulang belakang saya untuk saya kembali menyanyi.
Sekadar info, lagu ‘Wamwamsam’ ini merupakan hasil ciptaan Joey sendiri bersama dua anak M. Nasir iaitu Ilham dan Hidayat Nasir.
Lagu ini bukan saja mengangkat tema wawasan malah mahu menyampaikan mesej tentang kepentingan ilmu bagi generasi muda di masa akan datang.





