Di tengah-tengah krisis adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan yang membawa kepada pelantikan dua Undang Luak Sungai Ujong baru, kini Othman Ismail pula muncul dan mendakwa merupakan Undang Luak Sungai Ujong ke-11 yang sah.
Ketika ditemui Malaysiakini, Othman mendakwa dia dilantik sebagai Undang pada tahun 2009 dengan penuh istiadat, namun haknya telah dinafikan.
Oleh itu dia menuntut supaya diisytihar sebagai Undang Luak Sungai Ujong selepas Mubarak Thahak dipecat sebagai Undang Ke-10 kerana didakwa melakukan beberapa kesalahan adat.
Bahkan Othman berkata pengundiannya selaku waris perut di hilir mendapat sokongan penuh ibu soko Sungai Ujong.
Berbanding Mubarak yang merupakan waris perut di hulu tidak mendapat sokongan penuh dalam kalangan warisnya sendiri dan Othman kecewa isu ini tidak diberi perhatian pihak kerajaan sebelum ini.

"Satu cara nak tutup (selesaikan krisis) lantik (Undang) yang baru habis cerita. Tapi macam mana nak lantik yang baru?Bukan senang nak lantik yang baru.
"Tak payah lantik baru, saya memang dah jadi (Undang), isytihar sahaja (sebagai) Undang yang sah. Orang lain tutup mulutlah.
"Nak lantik baru bukan senang, nak kumpul Lembaga semua, nak dapat persetujuan (Waris) Hulu, Hilir lagi," katanya.
Dalam pertemuan itu, Othman turut menunjukkan video pelantikannya sebagai Undang yang dilakukan dengan penuh istiadat dan mendapat liputan media tempatan.
Othman juga turut menunjukkan watikah pemasyhuran yang diterimanya ketika ditabalkan sebagai Undang Luak Sungai Ujong ke-11.
Pada 5 Mei lalu, sekumpulan waris Klana Hulu mengumumkan sebulat suara melantik Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baru bagi luak itu.
Ini berlaku ketika Mubarak dan penyokongnya - termasuk tiga Undang yang lain - terus menegaskan bahawa dia masih menjadi Undang Sungai Ujong.

Dalam kenyataan Majlis Datuk Lembaga Adat Sungai Ujong, keputusan itu dibuat “mengikut undang-undang teradat” iaitu merujuk kepada “berkeadilan, berundang, bersalasilah” dan “berteromba” pada 22 April lalu.
Pada 11 Mei pula, Malaysiakini melaporkan bekas kerani yang juga Waris Hulu Perut Klana Abd Rahman Limat, 70, mendakwa pemasyhuran dirinya sebagai Undang Luak Sungai Ujong ke-11 adalah disahkan Lembaga Tiang Balai Waris Hulu.

Dia mendakwa majlis pemasyhuran di Telapak Tua Kampung Chedang, Seremban itu berlangsung mengikut adat pusaka dan dipersetujui oleh Ibu Soko, Buapak dan Tiang Balai Perut Waris Hulu.
Sementara itu, Othman ketika ditanya mengenai pengundian dua Undang berkenaan, mendakwa pelantikan itu tidak sah.
Katanya, pelantikan Muhammad Faris mendapat tentangan daripada warisnya sendiri, manakala Rahman pula Lembaga yang terbabit ketika pelantikannya dahulu.
"Rahman saya punya Lembaga daripada Waris Hulu, sekarang kelam kabut dia pergi umum dia (sebagai Undang)," jelasnya.





