Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri telah mengarahkan peguamnya untuk memulakan proses menyaman Ketua Pemuda PKR (AMK), Kamil Abdul Munim berhubung dakwaan yang mengaitkan NGO itu dengan penerimaan dana asing.
Ketua Eksekutif Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi berkata, Kamil mengaitkan NGO itu menerima dana untuk propaganda politik, operasi tentera siber, mencatur naratif politik domestik, mengancam keselamatan negara serta menjadi proksi kuasa asing.
Menurut Amir, Kamil turut menyebut di dalam kenyataannya bahawa terdapat tujuh transaksi sebanyak RM686,729.00 dibuat kepadanya serta beberapa individu yang turut dikaitkan dengan Mandiri.
"Oleh yang demikian, satu surat tuntutan (letter of demand) bertarikh 18 Mei 2026 telah pun dihantar kepada Kamil Munim, melalui emel.
"LOD melalui serahan tangan akan dihantar kepada beliau esok pagi, 19 Mei 2026. Kami memberikan masa 48 jam, dari tarikh penerimaan LOD tersebut, buat Kamil Munim untuk menjawab dan membuat permohonan maaf berhadapan, secara terbuka. Sekiranya gagal, kami akan meneruskan tuntutan saman sebanyak RM10 juta.
"Kami juga akan terus memantau akaun-akaun yang terus memainkan tuduhan fitnah ini, dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya ia berlarutan," kata Amir dalam satu kenyataan.

Semalam Kamil berkata terdapat laporan bahawa antara November 2024 hingga Jun 2025, Mandiri menerima dana berjumlah RM1.5 juta daripada pertubuhan berhaluan kiri di Amerika Syarikat, iaitu The Tides Foundation.
Menurutnya terdapat tujuh transaksi dibuat kepada Amir dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan kumpulan itu antara 2024 hingga 2025.
Kamil yang juga setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kementerian Kewangan - mendakwa dana tersebut mempunyai kaitan dengan gerakan politik tertentu termasuk pembiayaan operasi media sosial serta menggerakkan protes jalanan bagi mewujudkan persepsi serta naratif kebencian terhadap kerajaan, sekali gus menggugat kestabilan politik negara.
"Sekiranya dakwaan ini benar, maka perkara ini adalah sesuatu yang amat berbahaya. Malaysia tidak boleh sesekali menjadi medan eksperimen geopolitik kuasa asing yang mahu mencatur landskap politik negara melalui proksi tempatan.
"Campur tangan sebegini bukan sahaja menghakis kedaulatan negara, malah berpotensi mencetuskan ketidaktentuan politik yang akhirnya memberi kesan langsung kepada ekonomi rakyat, keyakinan pelabur dan kestabilan sosial negara.

"AMK menegaskan bahawa alasan kebebasan dan demokrasi tidak boleh dijadikan perisai untuk menghalalkan sebarang aktiviti yang melibatkan penggunaan serta penyelewangan dana asing bagi kegiatan politik yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Bagaimanapun Amir semalam menafikan dakwaan tersebut dan mengatakan dia yakin pejabat Mandiri akan diserbu dalam masa terdekat serta kemungkinan akan berlaku tangkapan.
Katanya, kumpulan itu tiada apa-apa untuk disembunyikan dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.





