Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju agar mata pelajaran Sains Komputer dan Reka Bentuk diajar sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris untuk pelajar Program Dwi Bahasa (DLP) di Sarawak bermula 2029.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata langkah itu menandakan pencapaian penting dalam memastikan kesinambungan DLP Sarawak, di samping memperkukuh pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negeri ini.
“Kementerian saya kini sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan KPM bagi memastikan kesediaan penuh untuk pelaksanaan, termasuk kesediaan guru dan mekanisme penyampaian sokongan,” katanya dalam ucapan penggulungannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak, di Kuching, hari ini.
Sagah berkata kerajaan negeri terus komited untuk mempertingkat penyampaian pendidikan, terutamanya dalam melengkapkan pelajar dengan kemahiran yang berkaitan dengan industri masa depan dan kemajuan teknologi.
Beliau juga berkata sejumlah 81 projek telah diselesaikan setakat ini di bawah peruntukan RM1 bilion untuk menaik taraf sekolah usang di Sarawak, yang melibatkan penaiktarafan dan pengubahsuaian bangunan bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dan keadaan pembelajaran untuk pelajar di seluruh negeri.
“Membaiki sekolah usang terus diberikan keutamaan… oleh itu, walaupun pendidikan berada di bawah bidang kuasa persekutuan, kementerian saya, dengan kerjasama agensi berkaitan, akan memantau pelaksanaan secara proaktif dan mengenal pasti keperluan kritikal untuk intervensi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) terus mempergiatkan usaha penyelidikan dan pembangunannya yang melibatkan sumber biodiversiti negeri.
Beliau berkata salah satu inisiatif tersebut melibatkan spesis Hellenia speciosa, yang dikenali sebagai Sulok Payo, Setawar Hutan atau Setawar Putih, sejenis tumbuhan ubatan yang digunakan secara tradisional oleh masyarakat tempatan di Sarawak untuk kesihatan pernafasan dan mengawal paras gula dalam darah.
"Berasaskan pengetahuan tradisional dan penemuan saintifik, SBC telah melaksanakan pembangunan ekstrak piawai yang menyasarkan penggunaan bagi kesihatan pernafasan dan pengawalan diabetes," katanya.
Sagah berkata inisiatif itu bertujuan untuk memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan yang konsisten di samping menyokong pembangunan produk hiliran dan pengkomersialan pada masa hadapan.
Katanya, penyelidikan yang dibangunkan di bawah kategori perubatan tradisional itu boleh meletakkan sumber biodiversiti Sarawak sebagai aset berharga untuk industri suplemen kesihatan.





