Beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M Thinaah terpaksa menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2026 bermula esok hingga 24 Mei di Unifi Arena, Bukit Jalil di Kuala Lumpur.
Perkembangan terbaharu itu disahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi hantaran di laman Facebook yang memaklumkan keputusan berkenaan dibuat susulan kecederaan yang dialami Pearly.
“BAM mengesahkan Pearly Tan menarik diri daripada Masters Malaysia 2026 akibat kecederaan belakang berulang,” menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, Pearly turut terlepas peluang mewakili negara pada kempen Piala Uber 2026 di Horsens, Denmark.
Harapan negara dalam acara beregu wanita kini disandarkan kepada pasangan muda dan pilihan ketujuh kejohanan Ong Xin Yee-Carmen Ting serta Chong Jie Yu-Vanessa Ng.
Xin Yee-Carmen akan membuka kempen menentang pasangan Taiwan Hsieh Yi En-Teng Chun Hsun manakala Jie Yu-Vanessa akan berdepan Chen Yan Fei-Liang Ching Sun, juga dari Taiwan pada pusingan pertama.
Kejohanan bertaraf Super 500 itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan USD500,000 (RM1.98 juta).





