32.1 C
Kuala Lumpur
Monday, May 18, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Kes bunuh di Kelantan meningkat lebih 100 peratus

    Shopee Sale

    Polis Kelantan menyuarakan kebimbangan susulan peningkatan kes bunuh di negeri itu yang melonjak lebih 100 peratus bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata sebanyak lima kes jenayah bunuh direkodkan setakat ini berbanding hanya satu kes pada tahun lepas, sekali gus menyifatkan jenayah berkenaan sebagai sesuatu yang sukar dijangka dan dicegah oleh pihak berkuasa.

    "Sukar untuk kita tentukan punca sebenar secara mutlak kerana bukan semua kes bunuh berpunca daripada pengaruh dadah. Sebagai contoh, ada kes pergaduhan yang berakhir dengan pembunuhan meskipun siasatan mendapati suspek negatif dadah.

    "Peningkatan ini amat membimbangkan. Berdasarkan pemerhatian, kelemahan iman dan kurangnya pegangan agama juga menjadi antara punca utama individu mudah dipengaruhi perasaan marah hingga bertindak ganas dan hilang pertimbangan," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Kelantan bagi Mei 2026 di Kota Bharu hari ini.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya lebih peka terhadap pergerakan ahli keluarga serta sentiasa memantau persekitaran dan pergaulan anak-anak bagi mengekang jenayah seumpama itu daripada terus berlaku.

    Sementara itu, Mohd Yusoff berkata pihaknya berjaya menyelesaikan kes bunuh melibatkan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 19 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri di tepi jalan di Kampung Chap Bekelam, Bachok pada 14 April lepas.

    Beliau berkata mangsa ditemukan pada 8.30 pagi sebelum dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, di Kota Bharu dan disahkan meninggal dunia pada 12.55 tengah malam, 15 April.

    "Hasil bezah siasat mendapati kematian mangsa akibat kecederaan di kepala disebabkan trauma tumpul.

    “Susulan itu, satu pasukan khas daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok telah menjalankan beberapa siri serbuan dan tangkapan di sekitar Kelantan dan Selangor,” katanya.

    MENARIK:  Layan sama rata: K'jaan Kelantan terima kasih pada Anwar

    Mohd Yusoff berkata hasil serbuan membawa kepada penahanan enam lelaki Melayu berumur antara 25 hingga 52 tahun serta seorang wanita Melayu berusia 28 tahun bagi membantu siasatan.

    Polis turut merampas beberapa barangan kes antaranya sebuah kereta, tiga motosikal, enam telefon bimbit, empat pasang pakaian, dua batang kayu, satu komponen motosikal, sebuah gayung, tong cat serta beberapa cebisan kain.

    “Semua suspek direman bermula 10 Mei hingga 22 Mei bagi membantu siasatan dan semakan mendapati empat daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau, manakala hasil ujian saringan air kencing terhadap semua suspek didapati negatif dadah,” katanya.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan kes itu.

    Dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan pihak polis sedang melengkapkan kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan kenyataan kontroversi didakwa menyinggung sensitiviti agama berhubung sahabat Nabi Muhammad.

    Mohd Yusoff berkata pihak polis setakat ini telah menerima 63 laporan dari pelbagai lokasi di seluruh negara berhubung isu berkenaan.

    "Kesemua pengadu yang terkesan dengan kenyataan itu telah dipanggil untuk dirakam keterangan dan individu berkenaan (Nik Zawawi) juga telah dipanggil untuk membantu siasatan.

    "Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Kertas siasatan masih berjalan dan polis akan merujuk perkara ini kepada pakar agama untuk meneliti bentuk kesalahan dengan lebih komprehensif memandangkan ia melibatkan isu agama," katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah