32.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 18, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Wan Saiful: Akta antilompat parti perkukuh dominasi kelompok elit

    Shopee Sale

    Selepas pengumuman pengunduran Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan tampil mempersoalkan fungsi akta antilompat parti yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini.

    Menyifatkan bekas ahli parlimen Pandan dan Setiawangsa itu sebagai wakil rakyat berkaliber, Wan Saiful berkata ketiadaan mereka di Dewan Rakyat pasti memberi kesan kepada kualiti perbahasan serta proses semak dan imbang.

    “Ini membawa kita kepada persoalan lebih besar, iaitu apa tujuan sebenar undang-undang antilompat parti?

    “Adakah ia untuk menjaga kestabilan negara, atau alat menjaga kestabilan kuasa kelompok elit yang berjawatan tinggi dalam parti?” soalnya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

    Semalam Rafizi dan Nik Nazmi masing-masing mengumumkan pengosongan kerusi yang dimenangi mereka dalam PRU ke-15.

    Mereka turut mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama) sebagai wadah perjuangan baru dalam meneruskan karier politik selepas tidak sehaluan lagi dengan PKR.

    Wan Saiful berkata, semasa rundingan untuk menggubal undang-undang antilompat parti pada tahun 2021-2022 yang dipengerusikan oleh Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dia beberapa kali membangkitkan persoalan mengenai sama ada mahu rakyat memilih parti semata-mata, atau mahu rakyat memilih individu berwibawa untuk membawa suara mereka ke parlimen.

    Malah, dia turut menyatakan bahawa budaya politik yang menjadikan wakil rakyat hanya pak turut parti mesti dihentikan kerana mereka akan menjadi "wakil parti" lebih dari menjadi "wakil rakyat."

    “Saya berpandangan bahawa demokrasi yang sihat memerlukan wakil-wakil rakyat yang mempunyai intelektualisme kendiri yang diseimbangkan dengan disiplin parti, bukan sekadar mengikut arahan parti membuta tuli yang akhirnya akan menjadikan presiden sesebuah parti terlalu berkuasa bagaikan dewata raya

    “Jika kebebasan berfikir dan bertindak wakil-wakil rakyat disekat atas nama ‘antilompat parti’, kita sebenarnya bukan memperkukuh demokrasi. Sebaliknya, kita sedang memperkukuh dominasi kumpulan elit berkepentingan dalam parti.

    MENARIK:  Warisan pilih bergerak solo hadapai PRN Sabah

    “Jika sesebuah parti sudah menyimpang daripada perjuangan asal, bukankah menjadi tanggungjawab wakil rakyat untuk menegur, malah menentang perkara yang salah?” soalnya.

    Tambah bekas wakil rakyat Bersatu itu, dia memahami kemarahan ahli mana-mana parti apabila berlaku tindakan keluar parti atau pemecatan, termasuk dalam kes melibatkan ahli-ahli parlimen Bersatu dan juga semua kes lompat parti sebelum itu.

    Tetapi jelasnya, emosi parti tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup kebebasan seseorang wakil rakyat bertindak mengikut keyakinan dan penilaian sendiri.

    “Biarlah sesebuah parti itu bertindak mengikut prosedur parti mereka, tanpa memadam atau menghalang cita-cita kita mahu melihat lahirnya dalam negara kita generasi wakil-wakil rakyat yang benar benar mengutamakan rakyat lebih tinggi dari kepentingan lain termasuk kepentingan parti.

    “Hari ini, Dewan Rakyat kehilangan dua ahli parlimen bukan kerana mereka meninggalkan perjuangan rakyat, tetapi kerana mereka sudah muak dengan kegagalan (Presiden PKR) Anwar Ibrahim,” tegasnya.

    Wan Saiful berkata, persoalan paling penting ialah sama ada kita mahu ahli parlimen yang berani berfikir dan mempertahankan prinsip, atau hanya mahu wakil rakyat yang menjadi pak turut Presiden parti.

    “Akhirnya, apabila suara yang berbeza disingkirkan, siapa yang benar-benar mendapat keuntungan? Yang untung hanyalah kelompok kecil kepimpinan parti. Tetapi rakyat rugi kerana kehilangan wakil yang berani bersuara.

    “Malaysia perlu berfikir secara matang tentang acuan demokrasi negara. Adakah kita mahu sistem yang hanya memperkukuh cengkaman elit politik melalui parti, atau kita mahu membentuk satu demokrasi yang benar-benar mengangkat martabat dan suara rakyat melalui wakil-wakilnya?” katanya lagi.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah