Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini menetapkan 20 Julai depan untuk keputusan sama ada Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad disabitkan atau dibebaskan daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh tersebut selepas selesai mendengar hujah daripada pihak pendakwaan dan pembelaan di akhir kes pembelaan, hari ini.
"Mahkamah menetapkan 20 Julai untuk keputusan dan pihak-pihak perlu memfailkan hujahan tambahan pada atau sebelum 9 Jun ini," katanya.
Zizie Izette, isteri kepada bekas Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya bagi memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM2.8 juta.
Pasukan pembelaan menutup kesnya selepas Zizie Izette selesai memberi keterangan membela diri pada 5 Mac lepas manakala Bung Moktar memberi keterangan pada 2 Sept 2025 selepas pasangan suami isteri itu gagal mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkan mereka membela diri.





