29 C
Kuala Lumpur
Monday, July 27, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Tanda tanya emas di New Delhi, Aichi-Nagoya

    Shopee Sale

    ULASAN SUKAN | Rasa macam pantas sangat berakhirnya cabaran skuad badminton negara dalam kunjungan mereka ke Asia Timur bagi aksi Siri Jelajah Dunia baru-baru ini.

    Jadi, apakah ‘kekurangan’ ditunjukkan oleh pemain elit kita di Terbuka Jepun pada minggu lalu dan Terbuka China yang berakhir pada Ahad itu?

    Mungkin pencapaian itu kurang disenangi peminat apabila kita hanya mampu layak ke separuh akhir dan suku akhir sahaja.

    Di Terbuka Jepun pada 18 Julai lalu, Goh Sze Fei dan Nur Izuuddin Rumsani tewas kepada juara dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan dalam saingan kelompok empat terakhir.

    Harapan ke atas Pearly Tan dan M Thinaah juga terpadam apabila pasangan beregu wanita nombor lima dunia itu tewas kepada pasangan nombor tiga dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto dalam saingan suku akhir pada 24 Julai lalu di Changzhou.

    Rasanya bukan kerana persembahan skuad negara tidak bagus. Tetapi, ia lebih terarah kepada faktor lain.

    Hal ini kerana, kebanyakan pemain elit negara sudah mula menghalakan fokus masing-masing kepada cabaran lebih getir di Kejohanan Dunia di New Delhi yang bakal bermula pada 17 sehingga 23 Ogos ini.

    Selain itu, minda juga pasti akan beralih kepada ujian sebenar di Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pada Sept ini.

    Lubuk berpotensi untuk pingat

    Dua kejohanan tersebut tidak dinafikan mempunyai nilai tinggi dan majoriti pemain lebih berwaspada untuk mengekalkan tahap kecergasan masing-masing sambil mengelakkan risiko kecederaan pada saat-saat genting.

    Kita pun dapat melihat beberapa negara gergasi seperti China, Korea Selatan, Denmark, Jepun dan Indonesia juga mahu ‘menyimpan tenaga’ bagi mengorak langkah di kedua-dua pentas terbesar itu.

    Justeru dari manakah hadirnya kekuatan skuad Malaysia untuk memburu pingat emas kali ini?

    Penulis tidak mahu memperkecilkan cabaran daripada acara perseorangan lelaki atau wanita. Cuma kita rasa buntu setiap kali mahu membicarakan prospek mereka. Tambahan pula mereka belum memenangi gelaran besar buat meyakinkan komuniti badminton.

    Apa pun, kita ucapkan selamat berjuang kepada Leong Jun Hao (pemain nombor 27 dunia) dan Justin Ho (nombor 51) dalam perseorangan lelaki dan K Letshanaa (nombor 28) serta Wong Lin Ching (nombor 37) bagi perseorangan wanita.

    Sebaliknya, tumpuan harus lebih terarah kepada acara beregu lelaki, wanita dan campuran.

    Di situ kita dapat melihat kewajarannya. Di situlah potensi lubuk untuk kita dapat menuai hasil membanggakan.

    Dalam Kejohanan Dunia, kita sudah mencipta sejarah dua kali sebagai juara. Statistik ini sudah cukup untuk menceritakan bahawa peluang terbaik negara akan menyusul daripada tiga sektor berkenaan.

    Pada 2022, pasangan beregu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik muncul juara buat julung kali di Tokyo manakala pada 31 Ogos 2025 giliran pasangan beregu campuran kita, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula naik ke podium untuk dikalungkan pingat emas.

    MENARIK:  Mayat dalam gaung: Polis klasifikasi sebagai kes bunuh

    Kali ini siapa pula pertaruhan terbaik negara?

    Belum cukup meyakinkan

    Sukar mencari yang mana satu. Tapi bagi penulis, Sze Fei-Izzuddin memberikan bayangan awal mereka ada ramuan untuk menggegar New Delhi dan juga Aichi-Nagoya.

    Bekas juara Terbuka China 2024 itu nyata lebih konsisten dari segi pencapaian sepanjang tahun ini.

    Hal ini juga kerana, pasangan beregu utama lain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sibuk dengan proses menguji gandingan baru.

    Andai berpandukan keputusan perlawanan, jelas sekali Sze Fei-Izzuddin menjadi prospek besar jika mahu dibandingkan dengan tiga pasangan beregu negara lain yang sudah layak itu.

    Ini termasuk bekas juara, Aaron-Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan pasangan ke- 19 dunia, Wan Arif Junaidi-Yap Roy King.

    Aaron-Wooi Yik dikenali dengan kemampuan untuk menonjol di pentas terbesar dunia. Namun, gambaran ketika ini serta persembahan mereka dalam Jelajah Dunia tidak menampakkan sesuatu yang dapat meyakinkan semua.

    Mereka pun baru bergandingan dengan rakan baru. Kita faham ia akan mengambil sedikit masa untuk proses keserasian.

    Tekad dilaungkan oleh Sze Fei-Izzuddin selepas hampa di Terbuka China baru-baru ini juga memberikan sedikit petunjuk bahawa mereka adalah pilihan terbaik negara di Kejohanan Dunia nanti.

    Selain Sze Fe-Izzuddin, kem badminton negara akan meletakkan harapan ke atas kelibat Pearly-Thinaah untuk berbuat sesuatu di New Delhi nanti.

    Kita juga amat mengharapkan ‘semangat 2025’ dapat menyalakan impian mereka. Pada 2025 mereka muncul naib juara Kejohanan Dunia di Paris.

    Kejayaan bersejarah dilakar itu pada 31 Ogos menjadikan mereka pasangan beregu wanita pertama Malaysia untuk naik ke podium. Harap selera sama itu berulang lagi nanti.

    Apa pun, pasangan nombor satu negara itu tampil berterus terang bahawa mereka belum cergas sepenuhnya daripada isu kecederaan. Pada ketika sama mereka turut akur tahap kecergasan mereka pada masanya ini hanya sekitar 70 dan 80 peratus saja.

    Selain Pearly-Thinaah, pasangan nombor dua negara, Carmen Ting-Ong Xin Yi (nombor 22 dunia) juga sudah layak bersama untuk mengiringi cabaran mereka.

    Kita cuma harap segala-galanya akan menjadi lebih positif dalam tempoh tiga minggu mendatang.

    Sehingga saat ini, kita sesungguhnya macam belum benar-benar nampak lagi prospek kejuaraan emas di New Delhi, begitu juga dengan impian besar di Sukan Asia.


    V ASHOK ialah bekas pengarang sukan dan pengarang berita luar negara di Berita Harian.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah