29 C
Kuala Lumpur
Monday, July 27, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Terlantar sebulan, warga OKU trauma dibuli ‘mat rempit’ 

    Shopee Sale

    "Saya trauma sehingga terlantar sebulan," luah seorang seniman tanah air yang juga pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU), Kogilarani R Narayanan.

    Kogilarani berkata kehidupannya berubah sekelip mata selepas diserang sekumpulan “mat rempit” ketika sedang memandu di Jalan Bukit Bintang, di Kuala Lumpur, pada awal pagi 24 Mei lalu.

    Insiden yang berlaku kira-kira jam tiga pagi itu bukan sahaja menyebabkan keretanya rosak teruk, malah meninggalkan trauma berpanjangan sehingga kesihatan wanita berusia 58 tahun itu semakin merosot dan kini bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

    Kogilarani, yang menghidap penyakit autoimun sejak 23 tahun lalu serta menghidap kanser limfoma berkata kejadian itu memaksanya menghentikan kerjaya sebagai seniman kerana keadaan kesihatan yang semakin lemah.

    Menurut Kogilarani, kejadian bermula apabila kenderaan Perodua Bezza hitam yang dipandunya dihalang sekumpulan penunggang motosikal ketika lampu isyarat bertukar hijau.

    Niatnya hanya mahu membunyikan hon bagi meminta laluan, namun tindakan itu mengundang kemarahan apabila salah seorang penunggang sengaja menekan brek secara mengejut di hadapan keretanya.

    "Dia menoleh ke belakang, memarahi saya dan menuduh saya cuba melanggarnya.

    "Padahal dia sendiri yang berhenti secara mengejut,” katanya kepada Malaysiakini baru-baru ini.

    Situasi kemudian bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kumpulan itu mengejar kereta Kogilarani beramai-ramai dan dua orang daripada mereka keretanya kemik dan cerminnya pecah.

    Walaupun pelekat OKU jelas dipamerkan pada bahagian hadapan dan belakang kenderaan itu, ia tidak mengubah apa-apa.

    Di sebalik serangan itu, Kogilarani berkata pengalaman lamanya dalam bidang permotoran membolehkannya mengawal kenderaan dan mengelak serangan.

    Walaupun berada dalam keadaan panik dan kesihatan diri terjejas akibat penyakit yang dihidapi, dia terus memandu bagi menyelamatkan diri.

    "Saya bernasib baik kerana terselamat. Melalui rakaman dashcam (kamera papan pemuka), boleh dilihat kelajuan kenderaan yang saya pandu. 

    “Mereka menaiki motosikal sebelum berhenti di tepi, lalu turun dan mengejar saya sambil memegang topi keledar untuk menghentam cermin belakang kereta saya.

    “Jika perkara ini berlaku kepada wanita lain, mungkin mereka sudah brek dan menyerah kalah dan menunggu cermin kereta dipecahkan, dihentam hingga mati, atau menangis ketakutan. 

    “Namun, saya terus bertahan,” kata Kogilarani. 

    Masalah tak berakhir di jalan raya

    Namun masalah Kogilarani tidak berakhir di jalan raya.

    Ketika mendapatkan perlindungan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pudu pada awal pagi kejadian, dia mendakwa beberapa anggota polis di pintu utama pada mulanya tidak membenarkan keretanya masuk ke dalam. 

    Namun, apabila anggota polis tu melihat ada sekumpulan penunggang motosikal mengekorinya dari belakang, barulah Kogilarani dibenarkan masuk.

    Dia kemudian diiringi polis ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, kira-kira 4 kilometer daripada tempat itu, untuk membuat laporan polis.

    Setibanya di IPD Dang Wangi, seniman itu mendakwa berdepan satu soalan yang dianggap tidak munasabah.

    MENARIK:  KDN atur gerak 66,042 anggota hadapi Monsun Timur Laut

    "Apabila saya beritahu saya baru pulang dari Starbucks di Bukit Bintang, seorang anggota polis di kaunter tanya sama ada saya mabuk.

    "Saya tanya balik, adakah minum kopi boleh membuatkan seseorang itu mabuk?"

    Selang dua hari selepas sesi keterangan diambil, pihak polis sekali lagi menghubungi seniman itu bagi menghadiri sesi kawad cam di IPD Dang Wangi.

    Dia berjaya mengenal pasti individu yang menghentam keretanya tetapi suspek yang didakwa memecahkan cermin belakang kereta tidak berada dalam barisan itu.

    Akibat trauma yang dialami, Kogilarani mendakwa kesihatan fizikalnya semakin merosot sehingga terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda.

    Kogilarani mendakwa trauma selepas insiden itu menyebabkan dia terlantar di atas katil selama sebulan. 

    Jumlah kerugian yang perlu ditanggung oleh Kogilarani adalah sebanyak hampir RM4,000. 

    Hampir dua bulan selepas laporan polis dibuat pada 24 Mei, Kogilarani mendakwa masih belum menerima sebarang perkembangan mengenai siasatan.

    Kini, dia bercadang membawa perkara itu kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta pihak atasan Bukit Aman bagi mendapatkan keadilan.

    Akan dituduh di mahkamah

    Sementara itu, pada 23 Julai lalu, Kogilarani berkata menerima sepucuk surat daripada IPD Dang Wangi yang memaklumkan siasatan kes berkenaan selesai dijalankan bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan khianat.

    Dia dimaklumkan bahawa kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur pada hari yang sama dan keputusan dibuat untuk mendakwa suspek.

    Suspek dijangka akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jenayah, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur manakala status pertuduhan akan dimaklumkan kemudian. 

    Bukan kali pertama terjadi

    Insiden pada Mei lalu bukan pengalaman pertama Kogilarani berdepan gangguan kumpulan penunggang motosikal. 

    Pada Disember 2025, dia mendakwa pernah dikepung sekumpulan penunggang motosikal ketika memandu bersendirian di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, kira-kira jam dua pagi.

    Peminat kopi itu sering berjaga malam dan tidur siang susulan kesan ubat yang dimakannya.

    Aksi ‘mat rempit’, gambar hiasan

    Menurutnya, seorang penunggang memotong secara mengejut dan berhenti di hadapan keretanya sebelum dia membunyikan hon kerana terkejut. 

    Tidak lama kemudian, beberapa lagi penunggang mengepung kenderaannya, mengetuk cermin dan menjerit menyuruhnya keluar.

    Kogilarani berkata dia mengunci pintu dan merakam kejadian menggunakan telefon bimbit. Menyedari tindakan mereka dirakam, kumpulan itu terus beredar. 

    Dia kemudian membuat laporan polis di IPD Dang Wangi kerana bimbang terhadap keselamatan diri. Namun, menurutnya, kes itu juga tidak menunjukkan sebarang perkembangan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah