Polis Jerman pada Ahad menyatakan bahawa mereka telah menembak dan membunuh suspek utama dalam apa yang disifatkan pihak berkuasa sebagai serangan ekstremis Islam berdarah berhampiran perarakan Pride Berlin malam sebelumnya, kejadian rempuhan terbaharu yang melanda negara itu.
Serangan lewat Sabtu itu – insiden pertama seumpamanya yang menyasarkan komuniti LGBTQ di ibu negara Jerman – mengorbankan seorang wanita dan mencederakan 29 yang lain.
AFP memetik polis Berlin menerusi hantaran di X menyatakan bahawa mereka menjejaki suspek utama, Abdul Ballout, 21, di sebuah kompleks tanah lot di daerah Spandau di bahagian barat kira-kira jam 6 petang (1600 GMT) pada Ahad.
Ballout "menerpa ke arah polis dengan senjata tajam", kata polis, lalu memaksa anggota polis melepaskan tembakan, "menyerang suspek hingga dia maut di tempat kejadian walaupun usaha menyelamatkan dilakukan."

Sebelum itu, pihak pendakwa raya menyatakan bahawa Ballout, warganegara Jerman berketurunan Lubnan, merupakan penyokong kumpulan yang menggelarkan diri mereka militan Daesh dengan beberapa rekod jenayah lampau, dengan yang terbaharu pada Mei.
Serangan Sabtu itu merosakkan suasana hari keraian bagi ratusan ribu pengunjung yang menghadiri Hari Christopher Street (CSD), antara acara Pride terbesar di Eropah.
Ahli politik di Jerman dan serata Eropah mengutuk keras serangan itu, manakala bendera di Bundestag Jerman dikibarkan separuh tiang.
Bercakap sebelum majlis ingatan untuk mangsa di gereja Marienkirche di Berlin, Canselor Jerman Friedrich Merz menggesa mereka yang disasarkan dalam serangan itu agar "tidak membiarkan diri kamu ditakut-takutkan."
Rekod jenayah lampau suspek
Sebelum jam 10 malam (2000 GMT) pada Sabtu, sebuah van mini putih merempuh orang ramai di pinggir selatan taman Tiergarten di pusat bandar Berlin sebelum melanggar beberapa batang pokok.
Menteri Dalam Negeri Alexander Dobrindt berkata Ballout disyaki menggunakan parang untuk menyerang lebih ramai orang selepas itu.
Dobrindt berkata 29 orang cedera, dengan sebahagian mereka parah.
Merz pada Ahad malam berkata tiada lagi mangsa yang berada dalam keadaan membahayakan nyawa.
Serangan itu berlaku beberapa ratus meter dari penghujung laluan perarakan CSD yang dikawal ketat dan pentas utama acara di Pintu Brandenburg, Berlin.
Dobrindt berkata Ballout sudah diketahui pihak berkuasa kerana "jumlah tinggi" jenayah lampau dan proses radikalisasi yang dilaluinya.
"Semua yang kita lihat di sini menunjukkan ini ialah serangan pengganas ekstremis Islam," katanya.

Pendakwa raya berkata Ballout mempunyai rekod jenayah lampau atas kesalahan mendatangkan kecederaan dan pemerasan pada 2019, serta satu kesalahan merompak pada 2020.
Mereka berkata bahawa pada 2024 dia berkongsi propaganda Daesh di Instagram dan pada tahun berikutnya berkunjung ke Lubnan untuk bertempur bersama kumpulan militan di Syria.
Dia ditangkap di Lubnan dan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan.
Sekembalinya ke Jerman pada November, dia ditangkap dan ditahan sehingga sabitan hukumannya pada Mei atas kesalahan "menyediakan tindakan ganas subversif yang serius."
Namun, hukuman penjaranya selama satu tahun 10 bulan ditangguhkan, sebahagiannya bagi mengambil kira tempoh dia berada di dalam penjara di Lubnan serta tahanan praperbicaraan, dan sebahagian lagi kerana dia mengaku bersalah serta menjarakkan diri daripada Daesh.
'Tidak akan tumbangkan kami'
Dalam majlis memperingati mangsa pada petang Ahad, ratusan orang membanjiri dataran di hadapan Pintu Brandenburg sambil memegang bendera pelangi dan bunga, dengan lebih ramai lagi berkumpul berhampiran.
Luka, pelajar berusia 23 tahun, memberitahu AFP bahawa dia berharap serangan itu tidak dieksploitasi oleh kumpulan sayap kanan antiimigresen yang semakin meningkat pengaruh menjelang pilihan raya di ibu negara dan beberapa wilayah pada September.
Di tempat kejadian itu sendiri, orang ramai meninggalkan bunga serta ucapan takziah dan sokongan bertulis tangan.
Armin Duenhoelter, 49, dari Wolfsburg, yang bekerja sebagai artis drag, berada di belakang pentas utama apabila serangan itu menghentikan keraian berkenaan.
Dia memberitahu AFP pada awal Ahad bahawa dia masih terkejut tetapi berikrar akan kembali untuk CSD tahun depan.
"Kami tidak akan membiarkan perkara ini menumbangkan kami," katanya.
Rentetan serangan
Serangan Sabtu itu membangkitkan semula kenangan siri insiden serupa yang mengejutkan Jerman dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan menyemarakkan perdebatan mengenai imigresen, dengan beberapa pelakunya berasal dari luar Jerman.
Martin Hess, anggota parlimen daripada parti sayap kanan Alternative for Germany (AfD), mengecam serangan itu sebagai hasil daripada "kegagalan sepenuhnya dasar keselamatan kerajaan."
Serangan paling berdarah dalam beberapa tahun kebelakangan ini ialah rempuhan lori di pasar Krismas Berlin pada Disember 2016 oleh seorang lelaki Tunisia berunsur jihad yang mengorbankan 13 orang.
Menjelang pilihan raya umum tahun lalu, berlaku rentetan serangan di tempat awam, termasuk oleh penyerang berunsur ekstremis Islam.
Pada 2024, seorang pakar psikiatri dan aktivis anti-Islam dari Arab Saudi mengorbankan enam orang dan melukai lebih 300 yang lain dalam serangan rempuhan kereta di pasar Krismas yang sibuk di bandar timur Magdeburg.





