Isu keterjaminan makanan semakin mendapat perhatian, terutama apabila perubahan iklim, rantaian bekalan dan cabaran pengeluaran tempatan memberi kesan kepada bekalan makanan sesebuah kawasan.
Menyedari kepentingan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Jabatan Perdana Menteri (JPM) meneruskan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat menerusi penganjuran Road to MAHA Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Program yang berlangsung selama empat hari bermula 23 hingga 26 Julai 2026 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan itu telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Labuan jadi platform tingkat kesedaran keterjaminan makanan

Road to MAHA merupakan kesinambungan kepada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang bakal berlangsung di MAEPS, Serdang, Selangor dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.
Pemilihan Labuan sebagai salah satu lokasi penganjuran dilihat bertepatan memandangkan kedudukan geografinya yang berdepan cabaran dalam aspek rantaian bekalan makanan.
Ketika ini, kira-kira 90% bekalan makanan Labuan diperoleh dari Sabah, manakala hanya 10% dihasilkan secara tempatan.
Justeru, penganjuran Road to MAHA Labuan menjadi platform untuk memberi kesedaran bahawa usaha memperkukuh keterjaminan makanan bukan sahaja menjadi tanggungjawab kerajaan, malah memerlukan penglibatan bersama pihak industri dan masyarakat.
Pelbagai aktiviti menarik dalam enam zon pameran

Sepanjang berlangsungnya program ini, pengunjung berpeluang meneroka pelbagai pengisian menerusi beberapa zon pameran yang mengetengahkan sektor pertanian, makanan dan inovasi.
Antara zon yang disediakan termasuk:
- Zon Keterjaminan Makanan dan Inovasi
- Zon Penternakan Moden
- Zon Akuakultur dan Industri Tuna
- Zon Agropelancongan dan Budaya
- Zon Usahawan PKS dan Belia
- Empayar Makanan Labuan
Melalui zon-zon ini, pengunjung dapat melihat sendiri usaha yang dilakukan dalam memperkasa sektor agromakanan, termasuk inovasi moden, pembangunan usahawan serta potensi industri makanan tempatan.
Lancar Pelan Strategik Keterjaminan Makanan Labuan 2026–2030

Bersempena majlis perasmian, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu turut melancarkan Pelan Strategik Keterjaminan Makanan Wilayah Persekutuan Labuan 2026–2030.
Pelan strategik tersebut menjadi panduan utama dalam memperkukuh sistem makanan Labuan menerusi strategi, inisiatif dan pelan tindakan yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Dalam majlis sama, sebanyak RM2.23 juta geran dan insentif pertanian turut disampaikan kepada kumpulan sasar bagi menyokong pembangunan sektor pertanian.
Selain itu, turut berlangsung sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik bagi Pembangunan Industri Tuna dan Ekosistem Pemprosesan Makanan Laut di Wilayah Persekutuan Labuan.
Turut diadakan ialah penyampaian watikah pelantikan penyelaras Pavilion Negeri MAHA 2026 bagi Negeri Sarawak dan Jabatan Wilayah Persekutuan.
Majlis ini turut dihadiri YB Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Anak Utom, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Sarawak; YB Datuk Jamawi Jaafar, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri Sabah; YB Dato’ Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman, Ahli Parlimen Labuan; YBhg. Datuk Seri Isham Ishak, Ketua Setiausaha KPKM; YBhg. Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), serta pegawai kanan KPKM, JWP, jabatan dan agensi berkaitan.
Dengan pelaksanaan Road to MAHA Labuan, usaha memperkukuh keterjaminan makanan diharap dapat terus diperkasa melalui kerjasama antara kerajaan, industri dan masyarakat demi memastikan bekalan makanan yang lebih mampan pada masa hadapan.
The post Road To MAHA Labuan 2026 Serlahkan Usaha Perkukuh Keterjaminan Makanan Negara first appeared on OHBULAN!.





