Bantahan terhadap cadangan pembinaan sebuah pusat data di Kota Damansara, Selangor, kian memuncak apabila penduduk menyerahkan memorandum kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit menangguhkan projek berkenaan susulan kebimbangan terhadap kesan alam sekitar dan komuniti.
Memorandum yang ditujukan kepada Datuk Bandar Petaling Jaya, Zahri Samingon, diserahkan oleh Adun Kota Damansara, Izuan Kasim, bersama-sama penduduk, ahli majlis PBT dan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Ramanan.
Izuan berkata bantahan itu bukan hanya melibatkan penduduk yang tinggal berhampiran tapak cadangan pembangunan berkenaan, sebaliknya mencerminkan kebimbangan masyarakat Kota Damansara secara keseluruhan.
“Antara kebimbangan komuniti ialah penggunaan air dan tenaga oleh projek ini, selain potensi kesannya terhadap alam sekitar yang boleh menjejaskan penduduk di kawasan sekeliling,” katanya ketika ditemui di luar pejabat MBPJ, hari ini.
Selepas penyerahan memorandum itu, Izuan berkata MBPJ memaklumkan bahawa cadangan berkenaan masih dalam proses bantahan mengikut peruntukan undang-undang.
Menurutnya, sebaik sahaja tempoh notis awam tamat, MBPJ akan meneliti semua bantahan sebelum mengadakan sesi pendengaran awam bagi membolehkan penduduk menyuarakan kebimbangan mereka.
“Kami menjangkakan lebih banyak maklumat mengenai projek ini akan didedahkan semasa sesi pendengaran tersebut. Berdasarkan maklumat itu, kami akan mengemukakan pandangan lanjut dan terus mendesak supaya cadangan pembinaan pusat data ini dibatalkan,” katanya.

Memorandum itu menyusul selepas bantahan yang semakin meningkat sejak cadangan tersebut mula diketahui umum awal bulan ini.
Pada 15 Julai lalu, Izuan menggesa MBPJ menangguhkan proses kelulusan, mengadakan sesi libat urus bersama penduduk yang terjejas dan mendedahkan dokumen teknikal projek untuk penelitian awam.
Pada hari yang sama, sepucuk surat bantahan daripada gabungan persatuan penduduk Seksyen 9 turut tersebar dalam talian, menggesa MBPJ mengkaji semula projek itu berikutan kebimbangan terhadap kesan alam sekitar serta lokasi cadangannya.
Ada lokasi lebih sesuai
Wakil komuniti Seksyen 9, Razif Lazim, berkata tapak yang dicadangkan ialah tanah kosong yang dikelilingi kawasan perumahan, dengan sebahagian rumah terletak kurang 50 meter dari lokasi berkenaan.
“Tapak itu masih kosong, tetapi dikelilingi rumah-rumah. Terdapat juga sebuah kios minyak di sebelah tapak tersebut, walaupun kami tidak tahu siapa yang akan mengendalikan ia,” katany kepada pemberita hari ini.
Razif berkata penduduk terkejut dengan cadangan itu selepas notis awam mengenai pembinaan pusat data didirikan di tapak berkenaan kira-kira dua minggu lalu.
Dia mendakwa tanah tersebut pada asalnya dirancang untuk pembangunan deretan kedai sebelum ditukar kepada projek kondominium berkepadatan tinggi, namun rancangan itu ditarik balik selepas menerima bantahan daripada penduduk dan wakil rakyat.
Sementara itu, Izuan menegaskan lokasi tersebut tidak sesuai kerana Kota Damansara sudah mempunyai kawasan perindustrian yang lebih sesuai untuk menempatkan pusat data iaitu di seksyen 2 dan seksyen 3.
Bagaimanapun, katanya, pihak terbabit masih memilih kawasan bersebelahan petempatan awam untuk projek tersebut.

Tambahnya lagi penduduk yang tinggal berhampiran pusat data di negara luar seperti AS, Jepun dan beberapa negara Eropah juga pernah membangkitkan kebimbangan mengenai kesannya terhadap komuniti sekitar.
Dalam perkembangan sama, penduduk turut mengkritik proses pemberitahuan awam oleh MBPJ dengan mendakwa ramai tidak mengetahui cadangan tersebut sehingga tempoh bantahan hampir tamat.
Wakil penduduk Jalan Istana Kota, Narindera Pall Singh, mendakwa tempoh bantahan dipendekkan secara berperingkat dari 21 hari kepada 14 hari, dan kini hanya tujuh hari, sekali gus memberikan masa yang terhad kepada penduduk untuk mengemukakan bantahan.
Dia turut mempersoalkan kebergantungan MBPJ kepada papan notis fizikal semata-mata, sambil berkata maklumat kepada orang ramai sepatutnya turut disalurkan melalui medium digital.
“Inilah sebabnya kami berpendapat MBPJ perlu mengkaji semula cara notis awam disampaikan kepada penduduk. Anda tidak boleh sekadar memasang papan notis dan mengharapkan penduduk sedar.
“Jika Razif tidak keluar berjalan pada waktu petang ketika itu, kami mungkin tidak akan melihat notis tersebut dan projek ini mungkin sudah diluluskan,” katanya.
Kawasan hijau untuk penduduk
Narindera berkata notis bagi pembangunan berskala besar juga perlu dikongsi dengan wakil rakyat dan ahli PBT supaya penduduk yang terjejas dapat dimaklumkan dengan segera.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan kepada StarMetro, MBPJ memaklumkan bahawa tempoh konsultasi awam telah dilanjutkan dari 21 kepada 27 Julai selepas mendapati terdapat kesilapan pada papan notis asal.
PBT itu memaklumkan pemaju diarah memperbetulkan kesilapan tersebut pada 15 Julai, manakala notis bagi mendapatkan maklum balas awam dihantar melalui pos berdaftar kepada pihak berkepentingan pada 17 Julai, sekali gus memberi mereka tempoh tujuh hari untuk mengemukakan maklum balas.
NGO alam sekitar, Greenpeace Malaysia, yang turut hadir semasa penyerahan memorandum itu turut menyatakan sokongan terhadap bantahan penduduk dengan menegaskan bahawa pusat data tidak sepatutnya dibina di dalam atau berhampiran kawasan perumahan.
Hal itu kerana, katanya, ia berpotensi memberi kesan kepada alam sekitar dan sosial.
Penyelaras bersekutu komuniti Greenpeace Malaysia, Aidil Iman, berkata pihaknya menyokong gesaan untuk membantah cadangan pusat data komersial itu dan mengehadkan pembangunan seumpamanya di kawasan perumahan.
Dia turut membangkitkan kebimbangan projek itu akan menggantikan kawasan hijau yang kini digunakan oleh penduduk.
“Ini ialah kawasan fizikal yang bakal digantikan dengan infrastruktur yang menggunakan air dan tenaga dalam jumlah yang besar. Jadi kami tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya.
Aidil berkata komuniti yang bimbang terhadap pembangunan yang boleh menjejaskan alam sekitar, kesihatan dan keselamatan bekalan air perlu bekerjasama dengan pertubuhan masyarakat sivil.
Menurutnya, penduduk Kota Damansara menunjukkan bagaimana sesebuah komuniti boleh mengatur tindakan dan mengemukakan bantahan rasmi terhadap projek yang dianggap tidak mampan.





