Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memperkenankan 625 warga pendidik dan guru di negeri itu menyampaikan khutbah Jumaat hari ini bersempena dengan Hari Guru yang disambut pada 16 Mei setiap tahun.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak Mohd Annuar Zaini berkata titah itu bertujuan menghargai dan mengiktiraf perananan serta sumbangan penting warga pendidik atau guru kepada rakyat dan negara.
“Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Al-marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, menitahkan khutbah Jumaat di negeri Perak pada 15 Mei 2026 hendaklah bertemakan guru menjelang sambutan Hari Guru pada 16 Mei 2026.
“Baginda memperkenankan warga pendidik dan guru diberi penghormatan menjadi khatib jemputan untuk menyampaikan khutbah bertajuk Guru Berhikmah Membina Insan Sejahtera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Annuar berkata susulan titah perkenan itu, Ketua Pengarah Pendidikan Mohd Azam Ahmad akan mengetuai warga pendidik dan guru untuk menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Negeri (Masjid Sultan Idris Shah II) di Ipoh.
“Selain itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Omar Salleh akan membaca khutbah di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh dan Ustaz Samad Hassan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Merchu akan menaiki mimbar membaca khutbah di Masjid Ubudiah Kuala Kangsar,” katanya.
Menurut Mohd Annuar, sempena dengan sambutan tersebut, Jabatan Pendidikan Perak turut menganjurkan program pengimarahan masjid di Masjid Negeri melibatkan 2,000 pelajar dan warga pendidikan.
“Program motivasi kerohanian murid akan bermula pada jam 10.20 pagi disusuli dengan acara bacaan surah Yasin, tahlil serta doa selamat.
“Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak juga berkenan berangkat untuk menunaikan solat Jumaat bersama-sama pelajar dan warga pendidikan di Masjid Sultan Idris Shah II hari ini,” katanya.





