Seorang sami Buddha berusia 37 tahun dilaporkan maut selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba menyelamatkan seekor anjing yang tersepit pada pagar kawat berduri dalam satu kejadian di daerah Pathum Ratchawongsa, Amnat Charoen, Thailand, baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: Bergaduh Sebab Tanah, Influencer Maut Ditikam Suami
Artikel Berkaitan: Pelajar Perempuan 16 Tahun Maut Ditikam Pelajar Lelaki 14 Tahun
Maut selepas selamatkan anjing

Mangsa, Phra Tom yang merupakan sami di Kuil Wat Nong Nam Khun, dikatakan sedang melakukan rutin pagi mengutip sedekah sebelum terdengar bunyi anjing menyalak dalam keadaan mencurigakan.
Mangsa kemudian menjejaki punca bunyi tersebut dan menemui seekor anjing yang terperangkap pada pagar kawat berduri di tepi jalan.
Tanpa menyedari bahaya, mangsa cuba membantu dengan merenggangkan kawat berkenaan menggunakan tangan bagi melepaskan haiwan itu.
Namun, pagar tersebut dipercayai telah menjadi laluan arus elektrik akibat kerosakan pada tiang elektrik berhampiran, menyebabkan arus voltan tinggi mengalir tanpa disedari.
Sebaik kedua-dua tangannya menyentuh pagar itu, dia terus terkena renjatan elektrik dan rebah di lokasi kejadian.
Orang awam yang berada berhampiran segera memberikan bantuan serta menghubungi pasukan kecemasan.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Pathum Ratchawongsa, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Pemeriksaan awal mendapati kesan melecur teruk pada kedua-dua tangan, tanpa sebarang tanda kecederaan lain atau unsur jenayah. Pihak perubatan menyimpulkan punca kematian adalah kegagalan jantung akut akibat renjatan elektrik.
Sumber: Sinar Harian
The post Sami Buddha Maut Ketika Selamatkan Anjing Tersepit, Terkena Renjetan Elektrik first appeared on OHBULAN!.





