Sambutan hari kemerdekaan ke-250 AS pada 4 Julai telah berlalu, dan dakwaan rancangan Presiden AS Donald Trump memberikan 250 pengampunan nampaknya tidak menjadi kenyataan.
Sehingga jam 2 pagi 5 Julai, di Washington DC, hanya 11 orang telah diampunkan oleh Trump - dan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low tidak termasuk dalam senarai itu.
Sebelas orang yang diampunkan pada hari Jumaat sebelum sambutan hari kemerdekaan, iaitu dua individu yang disabitkan kesalahan menipu dan sembilan orang yang didakwa melanggar Akta Udara Bersih persekutuan dengan melumpuhkan atau mengubah suai kawalan pelepasan trak.
Sebelum ini, The Atlantic melaporkan bahawa Rumah Putih telah membangkitkan idea "250 pengampunan selama 250 tahun".
Selain Jho Low, seorang lagi individu yang sebelum ini dilaporkan berada dalam senarai itu termasuk Pras Michel - yang disabitkan kesalahan berkomplot dengan Jho Low dan seorang pegawai kerajaan China untuk mengatur kempen melobi yang bertujuan menghentikan siasatan jenayah AS terhadap skandal 1MDB selepas dana tersebut telah disalahgunakan.
Jho Low dituduh mendalangi skim menyeleweng sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (kira-kira RM17.7 bilion) daripada 1MDB, bersama dua bekas pegawai bank dari Goldman Sachs.
Pada 13 Mei, The Wall Street Journal melaporkan bahawa permohonan Jho Low kepada Trump memohon "pengampunan selepas hukuman tamat", dan statusnya masih belum selesai.
Pada 2024, Jho Low mencapai penyelesaian dengan Jabatan Kehakiman AS untuk pemulangan AS$100 juta yang dituntut dalam saman pelucutan hak sivil.
Skandal 1MDB juga membawa kepada sabitan dan pemenjaraan bekas perdana menteri Najib Razak, yang juga memohon pengampunan di Malaysia.





