Perkembangan media sosial telah mengubah cara wartawan berinteraksi dengan masyarakat. Platform seperti Facebook, X (Twitter), Threads, Instagram dan TikTok membolehkan wartawan berhubung secara langsung dengan orang ramai serta menyebarkan maklumat dengan lebih pantas.
Namun, perubahan ini turut membawa cabaran baru termasuk trolling, gangguan dalam talian, ugutan dan doxing terhadap wartawan. Doxing merujuk kepada tindakan menyebarkan maklumat peribadi seseorang seperti nombor telefon, alamat rumah atau maklumat keluarga tanpa kebenaran.
Dalam kalangan wartawan, doxing sering digunakan untuk menakutkan atau menutup mulut mereka daripada terus melaporkan sesuatu isu.
Ketika sesi dialog bersama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di Pulau Pinang bersempena HAWANA 2026 pada 20 Jun lalu, beliau menzahirkan agar wartawan menjadi ‘suara tambahan’ kepada kerajaan bagi menangkis fakta tidak benar di media sosial.
‘Suara tambahan’ saya sifatkan sebagai pendapat peribadi dan juga ‘content’ untuk wartawan menepis dakwaan yang tersebar.
Bagaimanapun peningkatan interaktif antara wartawan dan netizen di platform digital tidak semestinya menghasilkan perbincangan yang sihat. Sebaliknya, ruang digital turut menjadi tempat penyebaran kebencian, gangguan dan serangan terhadap wartawan.

Oleh itu, isu doxing perlu dilihat bukan sekadar sebagai masalah individu tetapi sebagai isu yang berkait rapat dengan struktur kuasa dalam industri media digital. Walaupun media sosial membuka peluang kepada wartawan untuk berinteraksi dengan masyarakat secara lebih dekat, ia juga mendedahkan mereka kepada pelbagai bentuk gangguan dan ancaman.
Kajian oleh Universiti Colombia bersama 37 wartawan, editor, penerbit, pekerja bebas dan pengurus media sosial di Amerika Syarikat mendapati bahawa banyak organisasi media masih belum menyediakan perlindungan yang mencukupi kepada pekerja mereka dalam menghadapi ancaman tersebut.
Situasi ini turut dialami oleh pengamal media di Malaysia apabila ada sesetengah wartawan menjadi sasaran kebencian netizen di media sosial dengan menyebarkan akaun peribadi dan tempat organisasi wartawan bekerja. Saya masih ingat bagaimana sebuah syarikat media yang melaporkan berita hiburan di Malaysia kini menjadi bahan jenaka pengguna media sosial di Thread.
Netizen juga memperli portal tersebut dengan mengejek headline yang sensasi dan menyebarkan identiti semua kakitangan di syarikat tersebut. Pada awal Januari, seorang wartawan dari sebuah portal menerima ancaman dengan maklumat peribadinya disebarkan oleh netizen susulan soalan kontroversi dalam sebuah syarahan awam melibatkan ahli politik UK, George Galloway.

Lebih membimbangkan, apabila netizen mengaitkan dengan isu 3R (Race, Religion, Royalty) yang menggunakan bahasa bersifat menghasut, perkauman dan tidak berperikemanusiaan.
Sementara itu, dari sudut ekonomi politik media pula, syarikat media sosial seperti META - Facebook, Threads, Instagram, dan TikTok beroperasi berdasarkan keuntungan. Semakin tinggi jumlah interaksi pengguna, semakin besar keuntungan yang diperoleh melalui pengiklanan.
Dalam sistem ini, kandungan yang mencetuskan emosi seperti kemarahan, kontroversi dan konflik sering mendapat perhatian lebih tinggi berbanding kandungan biasa. Akibatnya, serangan terhadap wartawan juga boleh menjadi sebahagian daripada budaya digital yang didorong oleh algoritma platform.
Kajian akademik turut mendapati wartawan kini lebih terdedah kepada serangan dalam talian kerana mereka digalakkan untuk lebih aktif dan kelihatan di media sosial. Walaupun platform mendapat manfaat daripada peningkatan interaksi tersebut, risiko seperti trolling dan doxing ditanggung oleh wartawan sendiri.
Keadaan ini menunjukkan ketidakseimbangan kuasa antara platform digital dan pekerja media. Platform memperoleh keuntungan daripada penglibatan pengguna, tetapi tidak menanggung sepenuhnya kesan negatif yang dialami oleh wartawan.
Wartawan sebagai pekerja berisiko
Dalam era digital, tugas wartawan bukan lagi sekadar menghasilkan berita.
Mereka juga perlu membina pengaruh di media sosial, berinteraksi dengan audiens dan mempromosikan kandungan berita. Kajian melibatkan organisasi di luar negara, mendapati bahawa banyak organisasi media menggalakkan wartawan menjadi lebih aktif di media sosial.

Namun, apabila mereka menjadi mangsa gangguan, ugutan atau doxing, sokongan yang diberikan oleh organisasi media tidak mencukupi. Keadaan ini mewujudkan satu paradoks. Organisasi media mahukan wartawan aktif di media sosial untuk menarik audiens, tetapi pada masa yang sama gagal menyediakan perlindungan yang sewajarnya apabila berlaku serangan dalam talian.
Situasi ini menunjukkan bagaimana risiko pekerjaan turut memberi kesan secara individu kepada wartawan. Mereka perlu menanggung sendiri kesan psikologi, keselamatan dan reputasi akibat serangan yang berlaku di platform digital.
Ancaman terhadap kebebasan media dan demokrasi
Isu doxing tidak hanya memberi kesan kepada individu wartawan tetapi juga kepada kebebasan media secara keseluruhan. Kajian How Safe Is Journalism? Unpacking Risks and Implications for the Profession in Romania menunjukkan bahawa gangguan, ancaman dan serangan digital menyebabkan sebahagian wartawan memilih untuk menapis kandungan mereka sendiri, mengelakkan liputan isu sensitif atau meninggalkan profesion kewartawanan.

Apabila wartawan takut untuk melaporkan sesuatu isu, masyarakat juga akan kehilangan akses kepada maklumat yang penting. Situasi ini boleh menjejaskan fungsi media sebagai pemantau kepada kerajaan, syarikat korporat dan pihak berkepentingan lain.
Dengan kata lain, doxing bukan sahaja mengancam keselamatan wartawan tetapi juga melemahkan proses demokrasi kerana masyarakat tidak lagi mendapat maklumat yang bebas dan menyeluruh.
Media di Malaysia turut menerima kesannya apabila laporan yang diterbitkan oleh Reporters Without Borders (RSF), kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia terkini jatuh ke tangga ke-95 daripada 180 negara, berbanding kedudukan ke-88 pada tahun sebelumnya.
Skor keseluruhan negara merosot kepada 52.73, meletakkan Malaysia dalam kategori "situasi bermasalah". Kemerosotan ini didorong oleh penurunan merentas tiga indikator utama yang dinilai:
Politik: Kebebasan dan autonomi media daripada campur tangan pihak berkuasa.
Ekonomi: Tekanan kewangan dan gangguan ekosistem digital yang turut menjejaskan kelangsungan industri.
Perundangan: Penggunaan undang-undang dan sekatan terhadap kandungan dalam talian yang dilaporkan.
Jika ekosistem digital terus diganggu, netizen menjadikan platform media sosial sebagai medan untuk menyerang wartawan secara peribadi, mungkin kedudukan media Malaysia di rantau Asean akan masih jauh di belakang Thailand.
Peranan Majlis Media Malaysia Dalam konteks Malaysia, penubuhan Majlis Media Malaysia membuka ruang untuk memperkukuhkan perlindungan terhadap wartawan yang berdepan ancaman digital.
Di Malaysia, sebanyak 36 portal media dalam talian, 31 syarikat media tempatan dan tiga organisasi media mewakili kerajaan yang berdaftar secara sah dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen).

Walaupun fungsi utama majlis ini adalah untuk mempromosikan etika kewartawanan dan menangani aduan berkaitan media, perananannya boleh diperluaskan bagi menangani isu keselamatan digital wartawan.
Antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah mewujudkan garis panduan khusus berkaitan doxing dan gangguan dalam talian terhadap wartawan, memberikan latihan keselamatan digital kepada pengamal media.
Amatlah penting juga sekiranya Media Council mengumpulkan data berkaitan kes gangguan dan doxing terhadap wartawan di Malaysia. Dari perspektif ekonomi politik media, Majlis Media Malaysia boleh berfungsi sebagai institusi yang melindungi wartawan daripada ketidakseimbangan kuasa yang wujud antara pekerja media dan syarikat platform digital yang semakin berpengaruh.
Doxing bukan sekadar masalah individu tetapi berkait rapat dengan struktur kuasa dalam ekosistem media digital. Platform memperoleh keuntungan daripada interaksi pengguna, manakala wartawan menanggung risiko yang semakin membimbangkan jika tidak dibendung.
Oleh itu, perananan institusi seperti Majlis Media Malaysia amat penting untuk memastikan keselamatan wartawan agar hak privasi pengamal media terpelihara.
GRACE AISYAH KEDAYAN Pelajar pascasiswazah dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Tuklisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





