30.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 4, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Teguran Sultan Selangor boleh jejaskan undi Melayu pada PH di Johor’

    Shopee Sale

    Teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, terhadap pemimpin DAP, Lim Guan Eng, dan Tony Pua berhubung isu semakan semula kos projek LRT3 berpotensi menjejaskan sokongan pengundi Melayu terhadap PH di beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, berkata tindakan Tony Pua, yang pernah berkhidmat sebagai pegawai khas Lim ketika menjadi menteri kewangan, membalas titah Sultan Selangor boleh dianggap sebagai tidak menghormati institusi diraja oleh sebahagian pengundi Melayu.

    "Mereka akan melihat hantaran (Facebook) Tony Pua sebagai sesuatu yang tidak menghormati Sultan Selangor dan segelintir pengundi Melayu ini akan kurang senang untuk mengundi untuk calon Pakatan Harapan (PH)," katanya kepada Malaysiakini.

    Bagaimanapun, Ong berpendapat isu itu bukan faktor utama yang akan menentukan corak pengundian.

    Sebaliknya, dia berkata cabaran terbesar PH ialah kegagalan menangkis naratif terhadap Onn Hafiz Ghazi sebagai menteri besar yang disenangi rakyat.

    "Saya rasa cabaran utama PH bukan isu yang dibangkitkan akibat daripada kenyataan Sultan Selangor tetapi isu kekurangan naratif yang boleh dipakai untuk menangani naratif yang Onn Hafiz adalah menteri besar yang efektif dan berkesan," katanya.

    Pada PRN Johor kali ini, DAP bertanding di 17 kerusi, dengan tujuh daripadanya menyaksikan pertandingan satu lawan satu menentang calon MCA mewakili BN, iaitu di Bekok, Tangkak, Bentayan, Yong Peng, Mengkibol, Penggaram dan Pekan Nenas.

    Veteran DAP, Dr Boo Cheng Hau, turut berpandangan isu yang menyentuh institusi diraja, agama dan kaum (3R) mempunyai pengaruh terhadap sentimen pengundi.

    "Saya berpandangan, isu isu 3R memang ada pengaruh sedikit sebanyak kepada mana-mana pihak, termasuk PRN Johor.

    "Namun begitu, diharap semoga kita lebih menumpukan kepada isu-isu sara hidup harian, seumpama harga barang, inflasi, air, alam sekitar, dan pembangunan sosio-ekonomi Johor sebagai negeri maju," katanya.

    Bekas Adun Skudai itu berkata komunikasi dua hala antara ahli politik tanpa mengira parti dengan institusi Raja-Raja Melayu perlu diperkukuhkan secara lebih proaktif.

    "Saya percaya pemimpin-pemimpin DAP telah menjadi lebih matang dan berhemah bila mengeluarkan kenyataan membabitkan kepentingan awam dan keprihatinan istana sebab institusi Raja-raja Melayu mendapat penghormatan tertinggi antara semua kalangan masyarakat," kata Boo lagi.

    MENARIK:  Goodyear, Mida bekerjasama bantu lebih 500 pekerja terjejas

    Pada 1 Julai lalu, Sultan Selangor bertitah bahawa Guan Eng dan Tony Pua tidak memahami kepentingan projek LRT3 apabila mengecilkan skop projek itu ketika pertukaran kerajaan berlaku pada 2018, termasuk membatalkan lima stesen dan mengurangkan kapasiti tren.

    Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim kerana meneruskan projek tersebut.

    Susulan titah itu, Guan Eng dan Tony Pua kemudian mengeluarkan kenyataan bersama mempertahankan keputusan merasionalisasikan projek berkenaan.

    Media turut melaporkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, akan memohon menghadap Sultan Selangor bagi memberi penjelasan kepada baginda berhubung isu semakan semula kos projek tersebut.

    Menteri Pengangkutan itu berkata teguran Sultan Selangor akan dijadikan ruang untuk menjelaskan fakta serta pendirian kerajaan berhubung keputusan berkenaan.

    Tidak beri kesan pada pengundi Cina

    Sementara itu Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommuddin Bakar berkata pengundi Cina Johor tidak mengambil pusing isu tersebut memandangkan suasana 'sejuk' dalam iklim PRN khususnya bagi komuniti tersebut.

    Namun, dia mengingatkan DAP supaya berhati-hati dalam mengendalikan isu melibatkan institusi diraja agar tidak memakan diri.

    "Jangan heret pengundi Cina untuk bergaduh dengan istana. Perkara ini perlu diperhalusi DAP umpama tarik rambut dalam tepung.

    "Bagi Bangsa Johor perkara melibatkan istana adalah sensitif. Bagi pengundi Melayu mereka akan keluar ramai-ramai (pada PRN kali ini)... DAP kena hati-hati kalau tidak akan mencetus emosi pengundi Melayu.

    “Umpama tarik rambut dalam tepung agar tepung tidak berselerak, kalau berselerak implikasi di Johor, PH sebagai kerajaan Persekutuan mungkin terima nasib sama seperti di Sabah," katanya.

    Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali turut berpandangan isu berkenaan tidak dijangka memberi kesan besar kepada pola pengundian di Johor kerana ia lebih bersifat isu tempatan di Selangor.

    "Ini bukan kali pertama Tony Pua keluarkan kenyataan sebegitu...sebelum ini pun ada kenyataan tuanku Sultan Selangor.

    "Tetapi di Johor keadaan masih berjalan lancar, tak ganggu gugat dan kita tak dengar BN guna isu di Selangor ini. Agak jauh Selangor dengan Johor," katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah