Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa DAP tidak pernah mempertikai hak orang Melayu, sekali gus menyangkal naratif pihak tertentu yang cuba menggambarkan parti itu sebagai sebuah pertubuhan perkauman.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata sebagai bukti, DAP tidak pernah membantah hasrat beliau untuk mewartakan 20.23 hektar tanah di Bandar Malaysia sebagai Tanah Rizab Melayu.
Bagaimanapun, kata beliau sebagai pemimpin Kerajaan Perpaduan, menjadi tanggungjawabnya untuk bersikap adil kepada semua kaum bagi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara bersama.
“Kita buat program (untuk masyarakat) Melayu, bumiputera, tambah peruntukan untuk Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), dia (DAP) tak ada masalah.

“Tapi saya kena (juga) jaga supaya program dengan orang Cina tidak dihalang.
“Orang Cina yang miskin patut dibantu, orang India yang miskin patut dibantu, majoriti Melayu miskin patut dibantu,” katanya pada Program Temu Anwar di sebuah dewan restoran, di Muar, hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata di sebalik kepesatan ekonomi negara ketika ini, hasil keuntungan yang diperoleh perlu diagihkan secara saksama kepada seluruh lapisan masyarakat dan bukannya untuk kepentingan peribadi individu tertentu.
Beliau berkata pertumbuhan ekonomi negara harus diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat melalui penyediaan rumah yang selesa, kemudahan asas yang baik serta peningkatan mutu pendidikan.

“Ekonomi sedang meningkat, kita hendak supaya diagihkan dengan adil, pastikan rumah rakyat, gerai, kemudahan asas, mutu pendidikan diperbaiki.
“Saya nak anak-anak faham, kuasa itu amanah untuk digunakan, bukan untuk memperkaya diri.. Politik bukan untuk memperkaya diri sendiri, Politik adalah untuk memberi khidmat,” katanya.
PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai manakala pengundian awal pada 7 Julai.





