Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini menggesa pengundi Melayu-Islam di Negeri Sembilan kembali memberi sokongan kepada BN dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Dalam ucapan pelancarannya di mesyuarat Pemuda dan Puteri Umno Seremban, dia berkata hanya Umno-BN yang boleh menjaga kepentingan Melayu, yang didakwa gagal dilakukan oleh Aminuddin Harun sebagai menteri besar.
Merujuk kepada komposisi kaum wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri, Khairy berkata orang Melayu dan Islam bernasib baik kerana 14 wakil rakyat Umno pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri sebelumnya.
"Bila ada empat daripada 31 DUN adalah Adun Melayu, rasa-rasanya suara siapa lagi besar dalam kerajaan tersebut?
"Kita bukan soal perkauman, tapi sudah pasti wakil rakyat kaum lain akan perjuang kaum mereka. Itu mmg hak dia.
"Tapi kalau empat saja orang Melayu nak perjuangkan isu bangsa kita, mana mungkin suara mereka tidak tenggelam dalam keadaan tersebut.
"Sebab itu nasib baik pilihan raya lepas kita terpaksa gabung dengan mereka. Sebab yang bawa suara pertahan orang Melayu di Negeri Sembilan adalah 14 Adun BN," kata Khairy, atau lebih dikenali sebagai KJ, kepada kira-kira 200 perwakilan.
Bekas ahli parlimen Rembau itu juga menuduh Aminuddin tidak berkuasa dan berada di bawah kawalan DAP, yang memegang jumlah kerusi terbanyak di kalangan parti-parti PH.
PH dan BN memasuki pilihan raya negeri Negeri Sembilan 2023 di bawah pakatan pilihan raya untuk mengelakkan pertembungan dan masing-masing memenangi 17 dan 14 kerusi. Daripada 17 kerusi PH, 11 kerusi dipegang oleh DAP, lima kerusi PKR, dan satu kerusi Amanah.
Bersama-sama, gabungan itu membentuk kerajaan negeri, manakala Perikatan Nasional (PN) kekal dalam pembangkang selepas hanya memenangi lima kerusi.
Untuk rekod, PH sebelum ini memberi laluan kepada Asna Amin dari BN di kerusi Lenggeng yang majoritinya orang Melayu, yang sebelum ini disandang oleh Suhaimi Kassim dari Amanah.
Walau bagaimanapun, hubungan antara PH dan BN di Negeri Sembilan menjadi tegang pada bulan April berikutan pertikaian antara empat undang dan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
BN negeri menuduh Aminuddin gagal menguruskan isu tersebut dengan betul, menyebabkan 14 Adun Umno menarik balik sokongan mereka terhadap menteri besar dari PH itu. Walau bagaimanapun, percubaan mereka untuk menggulingkan Aminuddin gagal selepas campur tangan oleh kepimpinan persekutuan PH dan BN.
Walaupun BN telah mengumumkan rancangannya untuk bertanding solo dalam pilihan raya negeri, Khairy hari ini menggesa ahli parti untuk menyerahkan sebarang keputusan kepada Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.
"Bukan tempat kitalah utk nak buat keputusan. Kita boleh bagi pandangan bahawa ini pandangan dari bawah.
"Tapi yang penting tuan puan, sama ada kita gabung, sama ada kita solo, maruah bangsa Melayu, kesucian agama Islam terletak atas kekuatan Umno BN di Negeri Sembilan.
"Sebab itu pilihan raya nanti, tak apalah gabungan ke solo ke, kalau ada semangat Pemuda, Puteri Umno Negeri Sembilan, saya rasa kita lebih senang pergi solo insyaAllah.
"Tapi kalau terpaksa gabung, kita ikut arahan pucuk pimpinan.
Walaupun kita bergabung, walaupun kita suka pergi solo, matlamat kita adalah untuk pastikan bahawa hak dan kepentingan orang Melayu, Umnolah yang jaga di Negeri Sembilan ini," katanya.





