Pelakon, Ellyza Azizi mengakui dia sengaja menolak dua tawaran untuk memegang watak utama sebelum ini kerana percaya perjalanan kariernya masih panjang dan mahu membina nama secara perlahan-lahan.
Artikel Berkaitan: ‘Dapat Berlakon Dengan Nabila Huda, Ibarat Mimpi Jadi Realiti’ – Hun Haqeem
Elak jadi watak utama

Menurut Ellyza, dia lebih selesa membawakan watak pembantu utama atau supporting main kerana merasakan karakter sedemikian menawarkan ruang lakonan yang lebih luas untuk diterokai.
Saya lebih memikirkan perjalanan kerjaya tiga atau empat tahun akan datang. Saya percaya kalau saya naik terlalu cepat tetapi belum bersedia untuk mengekalkannya, saya juga boleh jatuh dengan cepat.
Saya rasa watak seperti manic pixie atau watak yang membantu protagonis mencapai matlamatnya lebih menarik untuk diterokai.
Watak utama memang menyeronokkan, tetapi saya lebih tertarik kepada karakter yang mempunyai lebih banyak warna.
Ellyza berkongsi perkara itu ketika ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri Viu Original, Cela, di Hulu Langat, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ellyza berkata, dia sememangnya memasang impian untuk bergelar heroin suatu hari nanti, namun merasakan sekarang bukan waktu yang sesuai untuk memikul tanggungjawab besar tersebut.
Mestilah saya nak bawa watak utama nanti. Kalau ada peluang, sudah tentu saya mahu. Cuma buat masa sekarang belum lagi.
Sebenarnya saya mahu berlakon untuk jangka masa yang panjang. Jadi saya rasa lebih baik untuk tidak bermain terlalu selamat.
Saya bersyukur kerana semua karakter dan projek yang saya lakukan meninggalkan kesan kepada penonton. Saya lebih suka orang mengingati sesuatu projek itu berbanding hanya menghasilkan satu demi satu karya tanpa impak.
Dalam masa sama, aktres itu mengakui masih mempunyai rasa bimbang untuk menggalas watak utama kerana tidak mahu mengecewakan jangkaan penonton.
Saya takut kalau belum mampu membawa watak itu dengan baik. Tambahan pula saya bukan datang dengan jumlah pengikut media sosial yang besar. Saya bimbang penonton mempunyai jangkaan tertentu terhadap heroin.
Saya sentiasa cuba mencabar diri. Malah untuk menerima watak Wardah dan berlakon bersama nama-nama besar pun saya sangat bersyukur. Saya benar-benar menikmati perjalanan kecil saya dalam industri ini.
Selain Ellyza, drama Cela turut dibintangi Hun Haqeem, Nabila Huda, Zarif Ghazzi, Datuk Seri Eizlan Yusof, Lisdawati dan ramai lagi.
The post Ellyza Azizi Dua Kali Tolak Tawaran Jadi Heroin, Anggap ‘Supporting’ Lebih Tinggalkan Kesan Di Hati Penonton first appeared on OHBULAN!.





