Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan mengalu-alukan negeri di seluruh negara untuk melaksanakan inisiatif solat Jumaat di pusat beli-belah, susulan sambutan positif terhadap pelaksanaannya di beberapa lokasi di Wilayah Persekutuan.
Zulkifli berkata pelaksanaan itu ketika ini dimulakan di Wilayah Persekutuan menerusi kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, memandangkan ia berada di bawah bidang kuasa kedua-dua agensi berkenaan.
"Setakat ini solat Jumaat telah dilaksanakan di beberapa pusat beli-belah, termasuk di IOI City Mall, Alamanda Shopping Centre dan Suria KLCC, manakala beberapa lokasi lain sedang dalam peringkat perbincangan.
"Bagi negeri-negeri, kita galakkan dan alu-alukan mana-mana negeri untuk turut bersama-sama kami, saya rasa insya-Allah usaha yang baik ini akan mendapat sambutan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa MADANI Ulama Umara Peringkat Kebangsaan dan Pelancaran Mushaf MADANI di Masjid Timah, Permatang Pauh, di Pulau Pinang hari ini.
Ketika ini Malaysia mempunyai lebih 6,784 masjid berdaftar, lebih 1,029 surau Jumaat berdaftar dan lebih 18,000 surau dengan keseluruhan 11,000 imam yang dibayar elaun setiap bulan.
Zulkifli berkata pihaknya turut menerima permintaan daripada pengurusan beberapa pusat beli-belah yang berminat menyediakan surau Jumaat selepas melihat sambutan menggalakkan, selepas sesebuah pusat beli-belah mempunyai surau Jumaat, ia menjadi semakin meriah dan menerima lebih ramai pengunjung.
Beberapa negeri turut menunjukkan minat terhadap inisiatif itu, khususnya negeri yang mempunyai bandar utama dengan pembangunan pesat dan bangunan komersial bertingkat, namun perbincangan masih pada peringkat awal.
"Sebab itu semakin banyak pengurusan pusat beli-belah menghubungi kami untuk melihat potensi pelaksanaannya di premis mereka. Selain pusat beli-belah kami turut merancang memperluas kemudahan solat Jumaat ke lokasi tumpuan awam lain seperti terminal pengangkutan, lapangan terbang dan kawasan rehat serta rawat di lebuh raya bagi memudahkan umat Islam menunaikan ibadah berkenaan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata Program Rakan Muda Rakan Masjid akan diperluas ke seluruh negara bagi menggalakkan penglibatan belia dalam mengimarahkan institusi masjid menerusi pelbagai aktiviti keagamaan, kemasyarakatan dan rekreasi.
Program yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu kini sedang digerakkan secara berperingkat di seluruh negara, termasuk di Pulau Pinang, dan pendekatan itu bertujuan mendekatkan golongan muda dengan masjid menerusi aktiviti, yang sesuai dengan minat mereka seperti sukan, riadah dan program sosial.
"Di Wilayah Persekutuan, kita telah menghimpunkan jawatankuasa belia masjid melibatkan lebih 75 masjid, yang kini aktif melaksanakan pelbagai program untuk masyarakat, dan kerajaan turut terus memperkukuh perananan institusi masjid di seluruh negara selaras usaha memperkasakan pengurusan hal ehwal Islam," katanya.





