GLOBAL | Selepas pengasas Telegram, Pavel Durov, ditahan di Perancis, usahawan AS Elon Musk dengan nada sinis meramalkan menjelang 2030, Eropah mungkin akan mula melaksanakan hukuman berat terhadap individu yang menyukai imej humor (meme) di Internet.
"POV: Tahun 2030 di Eropah dan anda dihukum berat kerana menyukai meme," kata Musk di X ketika mengulas mengenai laporan penahanan Durov, lapor agensi berita Rusia, Sputnik.
Dalam satu hantaran berasingan, Musk secara ironis berkata penahanan Durov adalah "tindakan yang meyakinkan" untuk Pindaan Pertama Perlembagaan AS, yang menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh mencabuli kebebasan bersuara.
Sebelum ini, media Perancis melaporkan Durov ditahan di Lapangan Terbang Le Bourget yang terletak di pinggir Paris.
Lelaki mempunyai kewarganegaraan Perancis disenaraikan sebagai individu yang dikehendaki oleh pihak berkuasa di negara bermenaan.
Pada 19 Ogos, Sputnik melaporkan pihak berkuasa Amsterdam di Belanda melarang kakitangan kerajaan daripada menggunakan aplikasi Telegram kerana kebimbangan mengenai risiko pengintipan, menurut laporan radio BNR pada Isnin.
Alexander Scholtes, seorang ahli majlis bandar yang bertanggungjawab terhadap dasar IT, mengesahkan kepada radio BNR bahawa larangan itu dikuatkuasakan pada penghujung April dengan alasan "aktiviti jenayah dalam aplikasi terbabit dan risiko pengintipan" sebagai faktor utama keputusan itu dibuat.
Walaupun Telegram dicipta di Rusia, ibu pejabatnya kini terletak di Dubai, dengan syarikat itu didaftarkan secara rasmi di Kepulauan Virgin.
Setakat ini, pihak berkuasa tempatan lain di Belanda belum mengenakan larangan serupa terhadap Telegram.





