Sebuah video yang tersebar dalam talian menunjukkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyokong aplikasi yang dilancarkan ahli perniagaan antarabangsa, Elon Musk adalah palsu dan mungkin untuk memperdaya orang ramai dalam skim penipuan pelaburan.
Menerusi video yang telah disunting dan tersebar di TikTok serta pelbagai platform pemesejan, BernamaTV seolah-olah melaporkan skim pelaburan anti-kemiskinan yang dilancarkan oleh Musk dan disokong oleh Mahathir.
Bagaimanapun, kumpulan pemeriksa fakta MyCheck mendapati video itu menggunakan teknologi deepfake dan kaedah penyuntingan lain.
Deepfake ialah media yang telah dimanipulasi secara digital untuk menggantikan rupa atau suara seseorang dengan yang individu lain.
Semakan sepintas lalu mendapati audio dan gerak bibir pembaca berita BernamaTV serta Musk tidak sepadan, tetapi ia lebih padan dengan klip video Mahathir.

Bagaimanapun, muslihat itu terbongkar apabila MyCheck meneliti klip itu melalui perisian 'deepWare', yang memisahkan audio dan video serta menganalisis kedua-duanya untuk melihat percanggahan.
Didapati klip audio dan video yang digunakan adalah "95 peratus palsu".
MyCheck juga menemukan petunjuk lain yang menunjukkan bahawa video itu berkemungkinan telah diedit.
Informasi berita pada klip yang disunting, kononnya menunjukkan bahawa ia adalah laporan berita mengenai pelaburan, tidak sepadan dengan informasi berita BernamaTV, lapor MyCheck.
Klip video Musk juga menunjukkan dia sebenarnya bercakap pada acara yang dipanggil "DealBook Summit".
MyCheck mendapati video yang diterbitkan oleh New York Times itu menunjukkan Musk bercakap pada sidang kemuncak tersebut pada November tahun lalu dengan mengenakan pakaian dan posisi yang sama seperti mana dalam video yang diedit. Bagaimanapun, paa waktu itu dia tidak bercakap mengenai sebarang skim pelaburan.
Selain itu, MyCheck mendapati klip video Mahathir itu disunting daripada ucapannya di Oxford Union pada 18 September 2022, di mana dia juga tidak bercakap mengenai sebarang bentuk pelaburan.
Bagi pembaca berita BernamaTV, klip itu berkemungkinan daripada siaran 25 Dis 2023 mengenai pelancongan di Pulau Bangau, Perak.
Malaysiakini dan MyCheck adalah sebahagian daripada pasukan pemeriksa fakta JomCheck.
Melalui JomCheck, rakyat Malaysia boleh mengemukakan permintaan untuk menyemak fakta dengan menghantar mesej WhatsApp ke talian 017-477 6659 (teks WhatsApp sahaja, tiada bukan panggilan) atau melalui pautan ini.





