Pemergian Allahyarham Hamdan Ramli semestinya telah memberi kesan yang mendalam terhadap setiap anggota kumpulan pelawak legenda, Senario.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Senario Serah Trofi ‘Artis Komedi Popular’ Kepada Keluarga Allahyarham Hamdan – ‘Alhamdulillah, Ramai Yang Sayang Kami’
Artikel Berkaitan: ‘Arwah Hamdan Cakap Dengan Doktor Jangan Tidurkan Dia’ – Azlee Senario
Mengenang arwah Hamdan

Konsert The Last Kopek Senariounion 30 Tahun yang berlangsung di Idea Live malam tadi menyaksikan satu persembahan tribute menyanyat hati yang disampaikan khas bagi mengenang rakan seperjuangan mereka itu.
Mewakili kumpulan Senario, Azlee atau nama lengkapnya Muhammad Azlee Jaafar berkongsi tentang persembahan mereka yang disampaikan bersama anak sulung kepada Allahyarham Hamdan iaitu Muhamad Zeyreen Misha.
Sebenarnya lagu Doa Untuk Ayah itu lagu berasal dari kumpulan Serba Salah yang dianggotai oleh arwah Hamdan, Wahid dan Ilya. Kami bawakan lagu itu pada malam ini adalah untuk mengenang pemergian arwah.
Kami sudah kehilangan satu anggota, tapi kami tak pernah lupakan keluarga dia. Sebab itu kita panggil ahli keluarganya dan dia juga sebahagian daripada konsert ini.
Jika dia masih hidup, dia akan ada bersama kami.
Sementara itu, Azlee juga menjelaskan simbolik di sebalik penyerahan trofi kemenangan Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-36 (ABPBH36) kepada keluarga arwah Hamdan.
Sebenarnya trofi itu kami sudah serah lama tapi pada malam ini kami nak beritahu peminat, inilah hasil daripada undian-undian mereka.
Pada malam ini kami secara berkumpulan menyerahkan trofi ini bersama-sama kepada anak arwah untuk disimpan sebagai kenangan.
Azlee berkata demikian ketika ditemui pada sidang media yang diadakan seusai konsert tersebut berakhir pada malam tadi.
Dalam pada itu, Azlee dan seluruh anggota Senario turut berdoa dan berharap agar ukhuwah yang terjalin di antara mereka akan berkekalan selamanya.
Kami harap semoga Allah SWT sentiasa memberi rahmat kepada kami supaya kami terus bersaudara.
Di konsert tadi pun kita lihat banyak fasa yang sudah kami lalui, jadi harapnya kumpulan Senario ini berkekalan.
Harap-harap silaturahim yang kita bina selama 30 tahun ini akan kekal sampai bila-bila.
Sebelum ini, Senario telah bersepakat untuk menyerahkan trofi Artis Komedi Popular yang dirangkul menerusi ABPBH36 itu kepada waris arwah Hamdan.
Hamdan menghembuskan nafas terakhir pada 5 Januari 2024 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru kerana jangkitan kuman dalam darah.
Arwah meninggalkan seorang balu iaitu Norhamalini Ahmed dan empat anak, Muhamad Zeyreen Misha, Muhamad Nazreen Aiman, Muhamad Syazreen Haqem, dan Nur Natasya Umairah.
Terdahulu, Senario yang kini dianggotai oleh Azlee, Wahid, Lan Pet Pet, Yassin Yahya dan Ilya Buang berjaya menghiburkan peminat dengan menyampaikan 19 buah lagu pada konsert yang penuh bermakna itu.
Kehadiran penyanyi bervokal tinggi, Aina Abdul yang mendendangkan lagu Joget Toleh Menoleh, Zapin Cinta SMS dan Zapin Usik Mengusik pula telah memeriahkan lagi suasana konsert berkenaan.
The post ‘Kami Kehilangan Seorang Anggota, Tapi Kami Tak Pernah Lupakan Keluarganya’ – Senario Kenang Arwah Hamdan Dalam Konsert first appeared on OHBULAN!.





