Walaupun Azmin Ali pernah melepaskan jawatan sebagai pengerusi PN Selangor namun Bersatu kembali mengangkat namanya untuk menerajui kepimpinan gabungan itu di negeri berkenaan.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengesahkan parti itu telah mengemukakan cadangan rasmi dengan menghantar surat kepada Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, bagi menamakan Adun Hulu Kelang tersebut.
“Kita dah hantar surat kepada pengerusi PN, bagi Selangor nama Datuk Seri Azmin telah kita cadangkan.
“Bagi saya di Selangor sejak dulu pun Bersatu yang pengerusikan PN, dia (Azmin) pun ketua pembangkang jadi layaklah. Kalau pihak lain ada cadangan lain mereka boleh bawa.

“Kita bukan saja cadangkan untuk Selangor, tetapi juga negeri-negeri lain seperti Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perak dan Sabah,” katanya pada sidang media selepas perasmian Konvesyen Bersatu Selangor di Shah Alam, hari ini.
Turut hadir, Azmin yang juga setiausaha agung Bersatu, Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin serta Ahmad Faizal Azumu.
Pada penghujung Disember lalu, Azmin — bekas menteri besar Selangor — meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN negeri, susulan tindakan Muhyiddin yang turut berundur daripada jawatan pengerusi gabungan tersebut.
Sebelum ini, Pemuda PAS dilaporkan mencadangkan Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri sebagai calon alternatif untuk memimpin PN Selangor.

Dalam perkembangan berasingan, Muhyiddin menegaskan pilihan raya umum ke-16 (PRU16) sebagai detik penentu buat PN, malah menyifatkannya sebagai peluang terakhir untuk merampas Selangor dan Putrajaya.
"Saya nak bagi pandangan bahawa apa yang kita akan lihat ke depan, dalam pilihan raya umum dan PRN, ini peluang terakhir, biar saya cabar begitu.
“Maknanya kalau kita nak menang inilah masanya untuk menang, kalau tak menang kita kalah dan kita dah kalah sekarang, nak bangkit semula dalam situasi ke depan yang tidak menentu, itu adalah satu perkara yang cukup sukar dan payah bagi kita.
“Ini adalah satu-satunya peluang dan juga masa terbaik kita perlu bekerja keras dan kita akan menang dalam pilihan raya akan datang untuk Selangor dan Malaysia.
“Maksud saya bila balik turun ke bawah dan mesyuarat tiap-tiap hari, bukan beromong kosong tetapi bersidang dan meneliti.
"Kerusi yang dah menang perlu dipertahankan dan kerusi yang kalah perlu dimenangkan,” tegasnya.





