Ketua Pemuda Amanah Bachok menyatakan rasa kesal selepas dikompaun RM25,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas dakwaan penyebaran berita palsu.
Abdullah Aqili Romeli, 35, menjelaskan dia mengakui terkhilaf kerana memaparkan poster maklumat tidak sahih namun dengan niat untuk mengkritik agensi kerajaan yang tidak memainkan perananan sepatutnya.
Dakwanya, dia menyedari banyak pihak yang menyebarkan poster kenaikan harga minyak itu dan memuat naik hantaran dengan sinis untuk menegur agensi kerajaan yang dilihat tidak bertindak.
“Saya sudah menjelaskan perkara itu kepada pengawai penyiasat (MCMC), namun nampaknya ia tidak diambil kira sekali gus dikompaun RM25,000,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu MCMC dilaporkan menerima keputusan dari Jabatan Peguam Negara berhubung kertas siasatan kes penyebaran berita palsu terkait kenaikan harga bahan api susulan krisis di Asia Barat.
Agensi itu memaklumkan Jabatan Peguam Negara memutuskan satu kes untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang dan lima kes ditawarkan kompaun, manakala empat kes lagi diberikan surat amaran.

Susulan itu, MCMC mengeluarkan lima tawaran kompaun kepada individu terbabit dengan nilai sebanyak RM25,000 setiap seorang.
Abdullah Aqili merupakan salah seorang daripada lima individu berkenaan.
Sementara itu, Abdullah Aqili berkata dia akan cuba membuat rayuan susulan kompaun tersebut.
“Saya akan kemukakan rayuan susulan keputusan ini, saya harap pihak MCMC dapat mempertimbangkannya.
“Sebagai pimpinan parti kerajaan di peringkat akar umbi, saya juga memainkan perananan memberi penjelasan dalam usaha dan dasar Kerajaan Madani,” katanya sambil memohon supaya MCMC memulangkan telefon pintarnya yang turut dirampas.





