Pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadap satu video tular yang didakwa memperlekeh tugas anggota sekatan jalan raya, dalam perkembangan yang dilihat berkait dengan kenyataan seorang Adun PAS yang mengaku “memperdaya” polis.
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat memaklumkan laporan dibuat sekitar jam 10 pagi hari ini oleh seorang pegawai kanan susulan rakaman video yang dimuat naik di media sosial.
"Video tersebut memaparkan seorang individu lelaki yang mengeluarkan kenyataan berunsur memperlekeh dan memperbodohkan anggota polis semasa menjalankan penugasan sekatan jalan raya.
"Siasatan awal mendapati individu berkenaan turut mendakwa bahawa beliau telah berjaya melepasi beberapa sekatan jalan raya dengan cara memperdayakan anggota bertugas.

"Kenyataan tersebut tidak bertanggungjawab, bersifat provokatif serta boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat di samping menjejaskan imej, reputasi dan kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Yusoff berkata kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil
Polis menegaskan tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang memperlekeh tugas pasukan keselamatan atau menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
Walaupun polis tidak menyebut nama namun pautan video dalam kenyataan pasukan itu merujuk rakaman Adun PAS Wan Rohimi Wan Daud yang berkongsi pengalaman mengelak sekatan jalan raya semasa konvoi motosikal di Kota Bharu.

Dalam ucapan di penghujung program, Wan Rohimi berkongsi pengalamannya melalui 'lorong tikus' (jalan kecil yang tersembunyi) mengelak sekatan berkenaan.
"Kita dilewatkan oleh roadblock polis. Bile blaka, ambo bile tak kurang dari tujuh (saya kira tak kurang daripada tujuh sekatan).
"Tapi semua kena bbodo kita belaka (Tapi kita berjaya memperdaya mereka semua)," katanya.
Dia berkata bahawa dia dimaklumkan "SB" tentang lokasi sekatan jalan raya, dan dia sebaliknya memimpin konvoi melalui jalan tikus.
Dia juga mendakwa kira-kira 3,000 motosikal mengambil bahagian dalam konvoi tersebut.
Program konvoi itu sebelum ini menjadi perhatian apabila polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan sekatan sebagai langkah keselamatan susulan kebimbangan gangguan trafik di kawasan kritikal berhampiran lapangan terbang.





