Sistem pembayaran tol di Malaysia kini sedang melalui fasa perubahan apabila teknologi baharu berasaskan Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR) mula diperkenalkan kepada pengguna lebuh raya.
Menerusi aplikasi JustGO, hampir 500,000 transaksi telah direkodkan sejak projek rintis dilancarkan di Lebuhraya Utara-Selatan pada Januari lalu. Peningkatan ini menunjukkan penerimaan yang semakin baik, termasuk daripada pengguna di luar kawasan operasi semasa.
Kurangkan kebergantungan kepada kad & peranti

Berbeza dengan sistem sedia ada seperti Touch ‘n Go, RFID atau SmartTAG, JustGO tidak memerlukan sebarang kad fizikal, peranti atau pelekat pada kenderaan.
Sebaliknya, sistem ini menggunakan teknologi ANPR untuk mengesan nombor plat kenderaan secara automatik. Caj tol kemudian diproses terus melalui kaedah pembayaran yang dipautkan dalam aplikasi, tanpa sebarang kos pendaftaran.
Pendekatan ini diperkenalkan bagi memudahkan pengalaman pengguna, terutamanya di plaza tol yang mempunyai pelbagai jenis lorong dan kaedah pembayaran.
Konsep “lane freedom” untuk aliran trafik lebih lancar

Salah satu ciri utama JustGO ialah konsep “lane freedom”, di mana pengguna bebas menggunakan mana-mana lorong tol tanpa perlu memikirkan jenis pembayaran.
Ini berpotensi mengurangkan kekeliruan dan kesesakan yang sering berlaku apabila pengguna terpaksa memilih lorong tertentu.
Seorang pengguna, Norhasimah Mustafa dari Shah Alam, berkata sistem ini mampu memberikan kemudahan kepada mereka yang kerap menggunakan lebuh raya.
“Saya selalu ulang-alik ke utara untuk urusan kerja. Setiap kali dekat plaza tol, kena fikir dulu lorong mana yang sesuai dengan mod pembayaran. Kalau sistem ini membebaskan saya daripada semua tu, memang besar manfaatnya. Pengguna seperti saya perlukan kemudahan ini di tempat kami menetap,” katanya.
Pengalaman pengguna dorong minat mencuba
Bagi Azri Ismail dari Nilai, pengalaman berdepan isu teknikal dan kekangan lorong menjadi faktor utama beliau berminat mencuba sistem ini.
“Hari-hari ada lorong kosong tapi tak boleh masuk sebab mod pembayaran tak sama. Kadang peranti atau pelekat ada masalah, terpaksa beratur panjang di lorong lain. Bila dengar sistem ini tak perlu semua tu dan bebas guna mana-mana lorong, memang nak cuba,” katanya.
Platform terbuka untuk pelbagai lebuh raya

Selain itu, JustGO dibangunkan sebagai platform terbuka, berbeza dengan sistem pembayaran tol terdahulu yang biasanya terhad kepada satu pengendali sahaja.
Ini bermakna lebih banyak konsesi lebuh raya dijangka boleh menyertai sistem ini pada masa akan datang, sekali gus membolehkan pengguna menggunakan satu platform yang sama merentasi pelbagai lebuh raya di seluruh negara.
Sasaran pelaksanaan MLFF menjelang 2027
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, sebelum ini menyifatkan peningkatan jumlah transaksi sebagai perkembangan positif terhadap kebolehlaksanaan sistem tersebut.
“Petanda baik bahawa sistem ini boleh diuruskan,” katanya.
Beliau turut menegaskan sasaran kerajaan untuk melaksanakan sistem tol pelbagai lorong bebas halangan atau Multi-Lane Free Flow (MLFF) sepenuhnya menjelang tahun 2027.
Setakat ini, aplikasi JustGO telah mencatatkan hampir 250,000 muat turun.

Projek rintis pula melibatkan:
- 9 plaza tol
- Jajaran Hutan Kampung hingga Sungai Dua sepanjang 87.7 kilometer
- Sebanyak 78 lorong secara keseluruhan
Walaupun sistem ini menunjukkan potensi yang positif, terdapat pengguna yang berharap ia dapat diperluaskan ke lebih banyak lokasi dalam masa terdekat.
Radzi Zin dari Perlis pula berkata:
“Saya sudah menggunakan mod ini dalam beberapa bulan. Masalah yang saya hadapi sekarang ni bukan dengan sistem, masalahnya sistem ini belum sampai ke mana saya berada. Saya harap perluasan dapat dipercepatkan untuk kemudahan pengguna lebuh raya,” katanya.
Secara keseluruhan, perkembangan ini dilihat sebagai satu langkah awal ke arah sistem tol yang lebih efisien dan mesra pengguna di Malaysia, selari dengan perancangan pelaksanaan MLFF pada masa hadapan.
The post Hampir 500,000 Transaksi Direkod, Pengguna Minta JustGO Diperluaskan Segera first appeared on OHBULAN!.





