26.8 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 21, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    KOLUM | Komunisme: Teorinya dipinjam, memoirnya diharam

    Shopee Sale

    KOLUM | “Jurang ekonomi semakin melebar. Yang kaya menjadi semakin kaya, yang miskin menjadi semakin miskin. Kekayaan berlegar-legar dalam kalangan beberapa kerat elit yang berkuasa. Rakyat jelata dieksploitasi dan ditindas. Tiba masanya sistem dan struktur ekonomi yang menguntungkan hanya kapitalis ini dirombak. Keadilan sosial mesti ditegakkan, agar rakyat di bawah hidup bermaruah.”

    Sudah tentu kita tidak asing dengan retorik politik sebegini. Namun mungkin ada yang tidak sedar, bahawa kalimat-kalimat ini sebenarnya dipinjam daripada “ideologi kiri”, keluarga besar yang dianggotai sosialisme dan komunisme.

    Ringkasnya, Karl Marx (1818-1883) membahagikan masyarakat kepada kelas pemilik modal (kapitalis) dengan kelas buruh. Menurut tokoh falsafah ini, sejarah manusia menyaksikan pertentangan kelas, yang akan berakhir dengan kemenangan kelas buruh untuk menumbangkan sistem kapitalisme.

    Itu asas teorinya, yang kemudian diperkembangkan dan diubahsuai oleh ahli akademik dan ahli politik, mengikut keperluan zaman dan konteks masyarakat masing-masing.

    Pengkaji media dan komunikasi misalnya, menggunakan kerangka teori ini untuk mengupas bagaimana kapitalis berkomplot dengan pemerintah untuk memiliki dan menguasai media.

    Feminis misalnya, melanjutkan teori ini untuk membezah fenomena ketidaksamarataan antara gender dalam dunia kerjaya, juga penampilan imej stereotaip wanita dalam produk budaya.

    Tokoh politik pula mengadunkan teori ini mengikut acuan negara masing-masing, seperti Leninisme, Stalinisme, dan Maoisme. Pelbagai pendekatan digunakan untuk menegakkan ideologi mereka, termasuk perjuangan bersenjata. Ironinya, revolusi berdarah atas nama untuk membebaskan rakyat jelata, berakhir dengan penindasan dan pengorbanan jutaan nyawa sepanjang perjuangan komunis di merata dunia.

    Sikap simplistik terhadap sejarah

    Setuju atau tidak dengan ideologinya, kerangka teori yang diasaskan Karl Marx, telah memperkayakan wacana intelektual. Pada masa yang sama, teorinya dipertikai, disanggah, dikritik dan diubahsuai dari masa ke masa. Maklumlah, mustahil satu teori yang diasaskan berdasarkan apa yang ada pada abad ke-19, kekal benar sepanjang zaman hingga kiamat –setelah dunia menyaksikan perubahan ketara dari segi sistem ekonomi, struktur sosial, kemudahan teknologi dan sebagainya.

    Dari segi realiti politik pula, catatan pengalaman tokoh-tokoh yang mencorakkan wajah sejarah, amat penting untuk memberi gambaran yang lebih lengkap. Bukan sahaja pembaca dapat meneropong pergelutan hati sosok-sosok tertentu ketika membuat pilihan, mengambil kira syarat dan batas yang ada dalam konteks zamannya, malah pembaca sempat melakukan semak silang fakta sejarah dengan merujuk kepada catatan yang berbeza perspektif.

    Misalnya, sesetengah tokoh memilih untuk berunding, tatkala sesetengah tokoh memilih untuk berperanang dengan penjajah sepanjang perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air.

    Sudah tentu penjajah lebih selesa dengan rundingan berbanding peperanangan, lantas rundingan dipercepatkan lantaran tekanan konflik bersenjata. Mengiktiraf pengorbanan mereka yang mempertaruhkan nyawa untuk kemerdekaan tidak bermaksud “mengagung-agungkan mereka”, atau memperlekehkan mereka yang berunding, tetapi memperlihatkan bagaimana interaksi antara manusia dan peristiwa ini menggerakkan sejarah.

    Lantas generasi seterusnya tidak ditanam sikap simplistik untuk memuja secara membuta tuli, atau mencaci sesuka hati watak-watak yang memainkan perananan dalam sejarah. Semulia-mulia protagonis, ada juga sisi gelapnya yang cuba disembunyikan; sejahat-jahat antagonis, ada juga sisi positifnya yang cuba dipadamkan.

    Idealisme buat jiwa membara

    Persoalannya, sama ada kita mendedahkan secara jujur, situasi sebenar yang rumit ketika protagonis dan antagonis membuat pilihan dalam hidupnya, untuk bumi yang dipijaknya, supaya generasi seterusnya lebih memahami setiap pertimbangan di sebalik keputusan mereka yang melakar wajah sejarah? Atau, kita jadikan sejarah sebagai propaganda murahan untuk memuja penguasa yang menang, sambil memijak musuh yang kecundang?

    MENARIK:  PRN: Amanah Johor tak tolak kemungkinan PH tanding semua kerusi

    Terpulang kepada kita – sama ada kita mahu memupuk satu generasi yang matang dan bertanggungjawab, atau satu generasi yang ektrem dan fanatik. Sama ada kita mahu mengasuh generasi baharu agar mengambil iktibar dari sejarah untuk menyelesaikan masalah secara pragmatik, selangkah demi selangkah, atau menghasut generasi baharu untuk melakukan apa sahaja, demi mempertahankan satu pihak atau satu teori seolah-olah ia satu-satu kebenaran di dunia?

    Pembentukan perwatakan lebih penting berbanding pengharaman buku, seandainya kita mahu mencegah sebarang kecenderungan keganasan lantaran pengaruh ideologi tertentu.

    Sejujurnya, apakah mungkin kita mengharamkan idea-idea tertentu melalui pengharaman buku, pada zaman di mana pelbagai informasi boleh disuapkan hanya melalui sentuhan hujung jari pada skrin telefon pintar?

    Lawan taasub, bukan haram buku

    Jelas, yang berbahaya bukan idea, tetapi ketaasuban, juga keangkuhan untuk menganggap diri kita sahaja yang benar. Bagi mereka yang pernah “muda”, sudah tentu pernah tersentuh hati dengan idealisme seperti kebebasan, kesamarataan, keadilan dan sebagainya. Lebih-lebih lagi, apabila dijolok dengan kalimat seperti “kita tidak pernah hidup selagi tidak menemui sesuatu yang sanggup kita perjuangkan sampai mati”.

    Pada zaman usia yang sedang tercari-cari makna hidup, sudah tentu kalimat sebegini membuatkan jiwa membara. Namun, andainya kita terdedah kepada dunia yang lebih luas, dalam suasana yang mengizinkan perbahasan dan pertikaian, sudah tentu kita tidak terlalu panas untuk membakar diri sehingga hangus demi sesuatu ideologi.

    “Kejap. Bagaimana andainya saya tersilap? Bagaimana andainya saya mati dahulu sebelum menyedari diri saya tersilap? Maknanya hidup saya selama ini tidak lebih daripada mempertahankan satu kesilapan?”

    Persoalan-persoalan sedemikian akan melantun-lantun dalam jiwa yang jujur. Kita akan mendewasa sejajar langkah negara berkembang. Akhirnya kita akan sedar bahawa tidak berbaloi untuk mati demi mempertahankan satu ideologi yang kononnya suci dan murni berabad-abad lalu, tetapi bermakna untuk hidup demi memperbaiki dunia yang cacat dan tempang di depan mata.

    Hidup manusia mengubah dan diubah dunia. Hari ini dunia sarat dengan pelbagai kalimat yang menyindir ideologi kiri, misalnya “Romantik namanya andai mempercayai komunisme sebelum usia 30; Bangang namanya andai masih mempercayai komunisme selepas usia 30.”

    Atau, “Tiada hati nurani namanya andai tidak mempercayai sosialisme sebelum usia 30; Tiada otak namanya andai masih mempercayai sosialisme selepas usia 30.”

    Namun, apakah penganut komunisme atau sosialisme tersinggung, atau melenting kerana rasa dirinya dihina? Tidak, sama ada mereka yang pernah percaya, ataupun masih mempercayai ideologi kiri pada hari ini, mereka bersahaja dengan usikan tersebut. Mereka menyedari ideologi kiri mempunyai kelemahannya, sebagaimana ideologi kanan juga memiliki kekurangan.

    Cuma mereka tersenyum sinis, apabila ahli politik yang mengangguk untuk pengharaman memoir komunis, berdegar-degar ketika menyebut istilah seperti “kepedulian terhadap rakyat”, “merakyatkan ekonomi”, “keadilan sosial”, “kesenjangan ekonomi” dan sebagainya.

    Mereka menggeleng-gelengkan kepala, sebelum tunduk untuk membaca buku yang belum diharamkan.


    LIM HONG SIANG adalah pembaca buku yang tertanya-tanya, berapa buah buku lagi yang bakal diharamkan, andainya alasan pengharaman Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen Ke-10 dan Komrad ASI (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah diterimapakai.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah