Pasangan suami isteri warga emas maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di KM 134 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, di Temerloh, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Nasyim Bahron berkata dalam kejadian 5.25 petang itu, pemandu sebuah Perodua Kancil, Zulkifli Md Yusof, 72, meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di dalam kenderaan.
“Isterinya, Radzuan Mohamad, 67, yang merupakan penumpang hadapan kenderaan sama, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh pada kira-kira 8.55 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kemalangan itu turut menyebabkan empat lagi mangsa cedera, termasuk seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang juga cucu pasangan berkenaan, kini berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di zon merah hospital sama.
Selain itu, beliau berkata tiga anggota Angkatan Tentera Malaysia berusia antara 22 hingga 27 tahun yang menaiki kenderaan Perodua Myvi, mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan di zon kuning Hospital Temerloh.
Mohd Nasyim berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan dipandu lelaki berusia 22 tahun itu, yang dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kenderaan dinaiki pasangan warga emas terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





