Sekumpulan aktivis pro-Palestin hari ini membantah pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2026 di hadapan Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur.
Demonstrasi anjuran NGO dan masyarakat sivil itu menolak penyertaan syarikat pembekal senjata kepada Israel dalam pameran aset peranang yang bermula hari ini.
Mereka juga membangkitkan isu perjanjian Lynas dan Jabatan Perang Amerika Syarikat untuk membekalkan bahan nadir bumi (REE) bagi tujuan persenjataan.
AJK Pusat PSM Sivarajan A yang menyertai himpunan hari ini berkata pameran ini disertai oleh syarikat-syarikat pembuat senjata yang mengaut keuntungan daripada peperanangan yang meragut nyawa di Palestin, Iran, Lubnan, Sudan dan Congo.

"Antara syarikat-syarikat itu termasuk MBDA, Lockheed Martin, Colt, Lewis Machine & Tool Company, Leonardo, Thales, L3Harris dan ramai lagi.
“Membenarkan syarikat yang berlumuran darah ini berpijak di atas bumi Malaysia membantu usaha peranang Israel dan AS, sekali gus menjejaskan kedaulatan Malaysia dan membongkarkan kemunafikan kerajaan Madani dalam pendiriannya yang anti-peranang,” katanya pada satu kenyataan.
Terdahulu, himpunan bertukar tegang seketika apabila pihak polis meminta para peserta bersurai.
Bagaimanapun, Pengerusi Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) Malaysia, Nazari Ismail dan ahli Sekretariat Solidariti Palestin Tian Chua dapat menyampaikan memorandum bantahan kepada Pengarah Eksekutif DSA Nadzeem Abdul Rahman.

Nazari dilaporkan media tempatan berkata syarikat yang membekalkan senjata kepada Israel tidak sepatutnya dijemput ke pameran DSA dan Natsec.
Jelasnya, jemputan berkenaan seakan mengiktiraf dan menunjukkan tiada bantahan terhadap pembabitan mereka dalam konflik Gaza.
Tian Chua pula dipetik berkata demonstrasi hari ini tidak menentang pameran tersebut, sebaliknya menegaskan rakyat Malaysia tidak mahu ‘penyokong genosid’ menjadi sebahagian daripada acara itu.
Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Negara (NatSec) Asia 2026 menghimpunkan kira-kira 1,400 syarikat antarabangsa dari lebih 60 negara berlangsung bermula hari ini hingga Khamis.
Bernama melaporkan pameran dwitahunan edisi ke-19 itu yang mempamerkan teknologi dan aset peperanangan elektronik tercanggih di dunia dalam sektor pertahanan darat, udara dan laut itu bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pula dilaporkan akan berangkat ke pameran berkenaan dan berkenan menyampaikan ucaptama di Forum Putrajaya yang bertemakan Asean Security in the Age of Emerging Technologies.
Antara syarikat antarabangsa yang telah mengesahkan penyertaan adalah dari Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Amerika Syarikat (AS), Itali, Perancis, Korea Selatan, India, Kazakhstan, Indonesia dan Singapura.
Syarikat pertahanan utama yang dilaporkan telah mengesahkan penyertaan ialah DEFTECH, ASELSAN, Turkish Aerospace Industries Inc., MILKOR, FNSS Savunma Sistemleri, Team Defence Australia, Airbus Group, BrahMos, Beretta Defense Technologies (BDT), Weststar Defence Industries dan Matra BAE Dynamics Alenia (MBDA).
Syarikat lain yang ikut serta, termasuklah Mindmatics, Hyundai WIA Corp, Kongsberg, ATLA Japan MOD, LIG Nex1, Glenair Inc, Fincantieri, Nurol Makina, HAVELSAN, CANiK Arms, FN Herstal dan Naval Group.





