Semua cadangan berkaitan sistem pengambilan pekerja asing secara digital masih dalam peringkat penilaian dan belum diputuskan, selain tiada sebarang komitmen, pelantikan atau perjanjian dibuat dengan mana-mana pihak setakat ini.
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, mereka sedang meneliti dan memperhalusi cadangan berkenaan melalui sesi libat urus melibatkan negara sumber tenaga kerja serta pihak industri, selain penyedia teknologi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing
(FWCMS) yang digunakan bagi pengurusan pekerja asing ke Malaysia sejak 2015.
"Sebarang laporan atau kenyataan yang menggambarkan seolah-olah keputusan telah dimuktamadkan adalah tidak benar, mengelirukan dan tidak mencerminkan kedudukan sebenar kerajaan," katanya.
Kesuma memaklumkan kajian menyeluruh terhadap ekosistem pekerja asing mendapati wujud kelompangan dalam komponen perekrutan di negara sumber, khususnya berkaitan isu ikatan hutang (debt bondage) yang boleh mendedahkan pekerja kepada risiko eksploitasi.
Susulan itu, kata kementerian itu, mereka sedang meneroka pembangunan sistem pengambilan pekerja asing secara digital berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menambah baik ekosistem pengambilan pekerja asing secara menyeluruh.
Menurut Kesuma lagi, pendekatan berkenaan membolehkan pengambilan pekerja asing secara langsung oleh majikan berdasarkan keperluan sebenar tenaga kerja, merangkumi keseluruhan proses di negara sumber termasuk pendaftaran, pengundian, padanan pekerjaan, persetujuan kontrak perkhidmatan antara majikan dan pekerja, serta fasilitasi penghantaran pekerja.
"Kos perekrutan akan ditanggung sepenuhnya oleh majikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan memastikan tiada beban kewangan dikenakan kepada pekerja asing," katanya.
Cadangan berkenaan selaras dengan prinsip pengambilan pekerja yang adil dan beretika yang diterapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), dan berpotensi menangani isu pemerdagangan orang dan buruh paksa, di samping memperkukuh usaha Malaysia mencapai penarafan Tier 1 dalam Laporan Pemerdagangan Orang AS.
"Cadangan ini hanya tertumpu kepada proses perekrutan pekerja asing di negara sumber iaitu pada peringkat proses pascakelulusan kuota dan tidak mengganggu apa-apa proses praperekrutan seperti perananan agensi kawal selia, kelulusan kuota termasuk aktiviti penguatkuasaan kerajaan berlandaskan perundangan sedia ada," menurut kenyataan itu.
Sebarang pelaksanaan kelak, kata Kesuma, tertakluk sepenuhnya kepada kawalan kementerian dari segi dasar dan operasi, serta diintegrasikan dengan sistem kerajaan sedia ada termasuk FWCMS dan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe).
"Dari aspek pengurusan pekerja asing, penglibatan dan perananan agensi pekerjaan swasta di Malaysia kekal dan tidak terjejas kerana Kesuma melihat cadangan ini sebagai platform yang boleh digunakan oleh majikan sendiri atau melalui agensi pekerjaan swasta untuk menjalankan proses perekrutan," katanya.
Menurut Kesuma, usaha memperkukuh sistem perekrutan itu turut menerima sokongan positif dari beberapa negara sumber tenaga kerja utama seperti Bangladesh, Indonesia dan India, khususnya dalam meningkatkan ketelusan dan kecekapan operasi serta mewujudkan kesinambungan ekosistem pekerja asing yang menyeluruh daripada proses pra hingga pascaperekrutan.
Pada peringkat industri pula, dakwa Kesuma, persatuan utama termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) serta Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) turut menyokong usaha kerajaan memodenkan sistem pengambilan pekerja asing.
"Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) mewakili lebih 13,300 syarikat pengilangan juga secara terbuka menyambut baik cadangan ini, sekali gus mencerminkan keperluan industri terhadap sistem yang lebih telus, berdaya saing serta mampu mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan mengawal kos perekrutan," katanya.
Sebarang pelaksanaan kelak, tambah Kesuma, akan mematuhi semua tatakelola yang ditetapkan dan melalui proses pertimbangan serta persetujuan kabinet selepas libat urus dengan penglibatan kementerian berkaitan, pihak industri dan negara sumber tenaga kerja bagi memastikan sistem yang dibangunkan benar-benar seimbang, berkesan dan memenuhi keperluan serta kepentingan negara.
“Kesuma kekal komited memperkukuh pembangunan bakat tempatan sebagai teras utama reformasi pasaran buruh negara, selaras dengan agenda jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-13,” katanya.





