Pangkalan Data Utama (Padu) Putrajaya akan memberi tumpuan untuk bertindak sebagai backend (tunjang) bagi agensi kerajaan lain sambil melaksanakan langkah analitik data, kata menteri ekonomi.
Akmal Nasir menjelaskan bahawa Padu, yang mengumpul data profil 30.7 juta individu, kini berfungsi sebagai "platform bersepadu" yang dapat membantu agensi mengurangkan kerja pengesahan data.

Katanya, selain data yang dikumpul daripada individu secara langsung semasa pusingan proses pendaftaran, Padu juga menerima data berterusan daripada perkhidmatan kerajaan lain.
“Maka sebab itu proses itu telah pun diselesaikan, dan Padu ini ketika ini menjadi backend data yang telah pun secara dinamiknya berfungsi.
“Dan tahun ini kita tumpukan kepada perkhidmatan yang ditawarkan kepada agensi-agensi kerajaan,” kata Akmal pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Dimulakan Rafizi
Padu diperkenal ketika Kementerian Ekonomi dipimpin oleh bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli, yang kini menjadi pengkritik lantang kerajaan.
Dia menambah bahawa walaupun agensi sebelum ini menggunakan Padu untuk perkhidmatan pengesahan data memandangkan pangkalan data itu menyusun data rentas platform, Kementerian Ekonomi mempunyai rancangan untuk membangunkan keupayaan pangkalan data itu bagi menyediakan bacaan analitik.
“Untuk tujuan analitik, ia melibatkan penilaian yang lebih jauh.
“Contohnya sekiranya ada program yang sebenarnya kerajaan memberikan bentuk pinjaman, jadi adakah kita boleh menjalankan analisis kebolehupayaan penerima pinjaman itu untuk membuat bayaran kembali contohnya," soal Akmal.
“Ataupun analitik dari segi dasar yang lebih besar. Yang dinyatakan tadi adalah sebagai contoh adalah negara menua. Bila kita bercakap soal dasar yang melibatkan populasi negara menua ini melibatkan individu-individu juga.
“Sudah pasti sebab kerana sembilan parameter yang utama dari segi latar belakang profil kita ini membolehkan pengenalpastian di lokasi mana ataupun lokaliti mana.
“Tapi pada masa yang sama kita boleh lihat daripada latar belakang sosioekonominya,” tambahnya.

Dia menegaskan bahawa dengan menggabungkan data sosioekonomi dengan parameter lain, pelaksanaan dasar tidak akan bergantung semata-mata pada anggaran atau unjuran, kerana mereka sebaliknya akan mempunyai asas analitik.
Menteri itu berkata tanpa analitik, bergantung pada data sahaja kadangkala memerlukan hipotesis atau tafsiran, yang juga memerlukan kepakaran dalam statistik dan penggunaan data.
"Jadi ini khidmat yang kita tawarkan kepada agensi yang akan membantu mereka bukan sekadar verifikasi maklumat yang diterima tetapi juga untuk menganalisis maklumat dan juga membantu mereka membuat keputusan.
Jadi dari segi sebab itu Padu sekarang ini sebagai backend yang mana data itu tertumpu kepada memberi perkhidmatan kepada agensi yang sebagai frontend.
Dia seterusnya menyatakan bahawa walaupun pengesahan dan pemeriksaan data dianggap sebagai ciri yang sudah sedia ada dalam rangka kerja Padu, kementerian sedang mengusahakan penambahbaikan tambahan dengan menambah keupayaan analitik.
"Dan sudah pasti kita kena pastikan apabila platform itu telah tersedia, kemahiran ataupun kekuatan itu boleh ditawarkan. Cabarannya adalah untuk memastikan agensi lain memahami kepentingan perkhidmatan tersebut yang akhirnya akan membantu mereka dalam melaksanakan tugas mereka."
Sebelum ini, bekas menteri ekonomi, yang menerajui pembangunan Padu, mendakwa Putrajaya boleh menguruskan kejutan harga minyak akibat konflik Asia Barat dengan lebih baik sekiranya subsidi bahan api bersasar berasaskan Padu.

Menegaskan bahawa kerajaan pada 2023 bersetuju untuk mengapungkan harga bahan api dan melaksanakan subsidi pemindahan tunai bagi memastikan bantuan kerajaan hanya sampai kepada kumpulan pendapatan yang layak, dia mendakwa pertimbangan politik menyekat rancangan ini.
Bulan lalu, anggota parlimen PKR Lee Chean Chung meminta pelaksanaan dan penambahbaikan berterusan sistem pangkalan data utama seperti Padu, di tengah-tengah isu berterusan berkaitan kenaikan harga bahan api dan pengurangan kuota subsidi.
Berhujah bahawa pengoptimuman sistem Padu akan membantu dalam memastikan pengagihan bantuan yang lebih tepat, anggota parlimen Petaling Jaya itu berkata kerajaan perlu mengambil pendekatan yang lebih berpandangan jauh dalam menangani perkara tersebut.
Akmal hari ini juga berkongsi bahawa setakat Mac tahun ini, 26 agensi kerajaan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang terlibat.
Agensi lain yang terlibat setakat ini termasuk agensi bawah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, serta Jabatan Digital Negara, dengan Akmal meramalkan penyertaan lebih banyak agensi pada masa hadapan.
Akmal seterusnya menegaskan bahawa kerajaan "tidak berhasrat" untuk mengaut keuntungan daripada keupayaan Padu, sambil menekankan bahawa fokus semasa adalah untuk menambah baik perkhidmatan kerajaan.





