Pasukan Iran melancarkan serangan dron pada Ahad terhadap beberapa kapal Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas selepas pasukan AS melepaskan tembakan dan memintas sebuah kapal Iran, lapor Anadolu Ajansi, memetik media tempatan.
Agensi berita separa rasmi Tasnim melaporkan bahawa selepas pasukan AS menaiki kapal kontena TOUSKA (gambar judul) di Teluk Oman, dron Iran dilancarkan terhadap kapal AS, tanpa menyatakan sama ada sasaran itu kapal tentera atau komersial.
Iran sebelum ini mengesahkan bahawa pasukan AS merampas kapal berkenaan dan memberi amaran akan bertindak balas “tidak lama lagi” susulan tindakan itu, yang disifatkannya sebagai pelanggaran gencatan senjata dua minggu yang dimediasi Pakistan dan sebahagian besarnya kekal dipatuhi sejak diumumkan pada 7 April.
Agensi Berita Fars, juga separa rasmi, melaporkan bahawa Markas Pusat Khatam al-Anbiya menyatakan pasukan AS menyasarkan kapal itu, melumpuhkan sistem navigasinya dan menaikinya selepas apa yang disifatkan sebagai pelanggaran gencatan senjata.
Data penjejakan kapal menunjukkan TOUSKA berlepas dari Pelabuhan Klang di Malaysia pada 12 April.
Jurucakap tentera Iran Ebrahim Zolfaghari berkata pasukan AS melepaskan tembakan ke arah kapal itu sebelum menaikinya.
Insiden itu mula diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump pada Ahad dan kemudian disahkan oleh Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM), yang memaklumkan bahawa USS Spruance memintas kapal kargo berbendera Iran itu selepas ia cuba melanggar sekatan tentera laut AS di Teluk Oman.
Menurut CENTCOM, anggota Marin masih menahan kapal itu dalam tahanan AS. Ia menyatakan dalam satu kenyataan bahawa kapal itu dalam perjalanan menuju pelabuhan Bandar Abbas di Iran.
CENTCOM turut mengeluarkan rakaman video di platform X milik syarikat media sosial AS yang menunjukkan kapal peranang AS memberi amaran kepada kapal berkenaan sebelum melepaskan tembakan.
Zolfaghari berkata, “Amerika Syarikat yang agresif, dengan melanggar gencatan senjata dan terlibat dalam lanun maritim, menyerang satu daripada kapal Iran selepas melumpuhkan sistem navigasinya.”
Beliau menambah bahawa pasukan AS menaiki kapal itu selepas mengerahkan “sejumlah anggota Marin pengganas” memasukinya.
“Kami memberi amaran bahawa pasukan tentera Iran akan segera bertindak balas dan membalas perbuatan lanun bersenjata oleh tentera AS ini,” katanya.





