Penyanyi popular era 80-an, Datuk ND Lala tumpang bangga dengan pencapaian anaknya, Shila Amzah yang semakin berjaya melebarkan sayap di China termasuk konsert jelajahnya di negara itu yang baru-baru ini mendapat sambutan luar biasa hingga tiket habis terjual.
Artikel Berkaitan: Doa & Kasih Sayang ND Lala Terhadap Anak-Anak Tidak Pernah Putus – ‘Mereka Adalah DNA Saya’
Tumpang bangga

ND Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, 65, berkata kejayaan tersebut bukan datang bergolek, sebaliknya hasil daripada usaha berterusan dan disiplin tinggi yang ditunjukkan Shila sejak kecil.
Saya bangga dengan kerjaya Shila. Syukur Alhamdulillah, segala penat lelah, usaha dan kerja kerasnya membuahkan hasil.
Dalam industri ini, ada beberapa perkara penting untuk berjaya. Pertama ialah bakat. Bakat bukan datang daripada saya sebagai ayah, tetapi kurniaan Allah dan ia tidak boleh dibeli.
Kedua ialah kesungguhan. Kalau ada bakat tetapi tidak rajin atau tidak berdisiplin untuk mengasahnya, memang sukar untuk pergi jauh.
Sebagai ayah dan juga orang seni, saya hanya membimbing. Saya latih dia seawal empat tahun setengah.
Tambah ND Lala, selain bakat dan usaha, peluang juga memainkan peranan besar dalam menentukan hala tuju seseorang artis.
Elemen ketiga ialah peluang. Dulu saya sendiri yang mencipta peluang untuk Shila. Saya bawa demo ke banyak syarikat rakaman, tetapi semuanya menolak.
Mereka kata Shila berbakat, tetapi ‘tidak boleh dijual’. Jadi saya ambil keputusan gunakan duit sendiri, termasuk membuat pinjaman untuk menghasilkan album pertamanya.
Waktu itu dia masih belum dikenali walaupun sudah ada album. Perjalanannya panjang dan memerlukan kesabaran yang tinggi.
Shila komited

Berkongsi lanjut, ND Lala berkata kejayaan Shila hari ini banyak didorong oleh sikap disiplin dan kesungguhan anaknya itu sendiri.
Shila seorang yang sangat komited dalam kerjaya. Kejayaan ini bukan kerana saya semata-mata, tetapi kerana dia sendiri mahu berusaha. Kalau dia tidak mahu, walaupun saya paksa, dia tidak akan sampai ke tahap ini.
Dalam pada itu, ND Lala turut mendedahkan perancangannya membawa Shila ke pasaran China pada 2012 bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, sebaliknya dirancang rapi selama beberapa tahun.
Selepas saya bangkit semula dalam perniagaan, saya mula susun langkah untuk bawa Shila ke China. Persiapan itu mengambil masa kira-kira empat tahun.
Dia pernah tanya kenapa China jika mahu jadi artis antarabangsa. Saya jelaskan, pasaran di sana sangat besar dan mempunyai potensi yang luar biasa.
Saya bersyukur melihat dia berada di tahap ini hari ini. Semua ini hasil usaha, doa dan kesabaran yang panjang.
The post ND Lala Tumpang Bangga Dengan Kejayaan Shila Amzah Di China, Imbas Momen Keluarkan Duit Simpanan Untuk Hasilkan Album Sulung first appeared on OHBULAN!.





