Penyanyi dan komposer, Hael Husaini berpendapat tidak menjadi satu kesalahan bagi seorang anak seni untuk mengambil masa berehat sekiranya berdepan keletihan atau melalui fasa ‘penat’.
Artikel Berkaitan: Dua Selebriti, Satu Vibe: Scha Alyahya & Hael Husaini Bawa Aura Minimalis & Elegan
Tak salah berehat

Hael, 39, berkata istilah ‘merajuk’ yang sering dikaitkan dengan artis yang menyepi adalah kurang tepat kerana setiap individu memerlukan ruang untuk memulihkan semula tenaga.
Istilah merajuk itu mungkin kurang tepat. Hakikatnya, kita semua manusia biasa. Bila penat, kita perlukan rehat dan itu perkara normal.
Sama juga dalam kerjaya lain. Penyanyi atau pengkarya pun manusia, bila penat mereka perlukan masa untuk berehat secukupnya.
Menurut Hael, tempoh rehat itu bukan bermakna seseorang artis hilang semangat, sebaliknya itu adalah proses untuk kembali dengan idea dan karya yang lebih segar.
Selepas berehat, biasanya mereka akan kembali dengan ilham baharu dan tenaga yang lebih kuat. Bagi saya, tiada masalah untuk ambil masa rehat kerana saya sendiri pernah melalui fasa yang sama.
Mengulas mengenai harapan peminat yang sentiasa menantikan karya baharu daripada artis kesayangan, Hael menjelaskan bahawa tempoh berehat itu sebenarnya sebahagian daripada proses berkarya.
Mungkin ada salah faham di situ. Masa berehat itulah sebenarnya digunakan untuk mengumpul idea dan menghasilkan material baharu. Untuk mencipta sesuatu karya yang berkualiti, memerlukan masa dan proses yang panjang.
Tempoh pulih

Tambah Hael, setiap artis mempunyai standard tersendiri terhadap hasil kerja, justeru mereka memerlukan masa untuk memastikan karya yang dihasilkan lebih baik daripada sebelumnya.
Hael berharap peminat dapat memahami situasi tersebut dan terus memberi sokongan kepada artis walaupun mereka mengambil masa untuk ‘berehat’ seketika daripada industri.
Saya sendiri, kalau rasa sesuatu karya tidak mencapai tahap yang diinginkan, saya akan ambil masa untuk hasilkan yang lebih baik.
Jadi tidak salah untuk seseorang penyanyi atau artis berehat seketika, asalkan akhirnya mereka kembali dengan sesuatu yang lebih berkualiti.
Hael berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan hari raya The Grand Glamz Syawal NR Mothercare Confinement yang berlangsung di ibu kota, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, NR Mothercare terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri penjagaan ibu berpantang melalui penganjuran majlis tersebut bagi merapatkan hubungan antara pekerja, pelanggan dan rakan niaga.
Sepanjang 2025, syarikat mencatat peningkatan tempahan sebanyak 60% serta berjaya meluaskan perkhidmatan ke peringkat antarabangsa termasuk Dubai, Ireland, Brunei, Singapura dan Abu Dhabi, sekali gus membuktikan pengiktirafan global terhadap kualitinya.
Bagi menyokong pertumbuhan, NR Mothercare giat merekrut tenaga kerja melalui sesi temuduga terbuka, dengan fokus memperkasa wanita termasuk ibu tunggal serta lepasan TVET. Tenaga kerja turut diberikan latihan komprehensif bagi memastikan perkhidmatan profesional dan berkualiti tinggi.
Selain itu, syarikat turut menjalankan tanggungjawab sosial dengan membantu anak yatim serta menghargai pekerja melalui pelbagai ganjaran termasuk peluang melancong ke luar negara.
NR Mothercare komited untuk terus membangunkan bakat, memperluas peluang kerjaya dan meningkatkan standard penjagaan ibu berpantang di peringkat tempatan dan global.
The post Hael Husaini Anggap Tak Salah Penyanyi Lalui Fasa ‘Berehat’ – ‘Tempoh Itu Digunakan Untuk Kumpul Idea’ first appeared on OHBULAN!.





