Sejumlah ahli Persatuan Pengusaha Galian Sabah (PPGS) membuat laporan polis berhubung artikel dan video yang disebarkan di media sosial, mendakwanya sebagai fitnah.
Dalam kenyataan media hari ini, ahli jawatankuasa PPGS, yang kebanyakannya pegawai penguat kuasa kanan yang sudah bersara, menyuarakan kebimbangan berhubung apa yang disifatkannya sebagai usaha berniat jahat untuk merosakkan imej dan reputasi ahli persatuan.
“Berdasarkan sudut dan aspek kandungan fitnah yang disebarkan, kami mengesyaki pelaku yang menyebarkan fitnah di media sosial adalah seorang ‘propaganda’ yang terkait dengan parti politik di Sabah.
“Kami ingin menegaskan PPGS tidak terlibat dengan sebarang aktiviti atau parti politik, perananan kami adalah untuk memajukan industri galian di Sabah,” kata mereka.
Walaupun kenyataan itu tidak menyebut mana-mana parti politik secara khusus, ia dilihat disasarkan kepada pentadbiran Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, yang juga mengetuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan kini terpalit dengan dakwaan rasuah.
Malaysiakini difahamkan yang ahli perniagaan yang mendedahkan skandal tersebut, bersama-sama pengarah dalam sebuah konsortium perlombongan, memegang jawatan dalam PPGS.
Kenyataan Hajiji ketika sidang DUN
Menurut ahli jawatankuasa PPGS, Hajiji dalam sidang DUN Sabah pada 17 April lalu menjelaskan tanggungjawab dan perananan pemegang Lesen Mencarigali (PL).
PPGS memetik Hajiji sebagai berkata: “Aktiviti penerokaan mineral adalah satu aktiviti yang memang rumit, dari segi teknikal seperti geologi kawasan, jenis mineral, infrastruktur dan lain-lain yang memerlukan modal yang tinggi dan berisiko tinggi yang memerlukan pelaburan awal yang besar tanpa sebarang jaminan pulangan. Jadi langkah ini adalah untuk melindungi kerajaan daripada liabiliti dan risiko kewangan, kerana semua kos penerokaan akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat swasta yang memegang Lesen Mencarigali (PL) tersebut.”
PPGS juga menolak dakwaan bahawa ahlinya membentuk “kartel”, mengugut Hajiji mahupun mengawal 21 PL yang meliputi kawasan satu juta ekar (400,000 hektar).
Mereka menegaskan ahli persatuan yang memiliki PL hanya dibenarkan masuk ke kawasan penerokaan mineral dengan berjalan kaki dan mereka tidak pernah membawa masuk mesin atau jentera berat untuk melakukan kegiatan carigali.
“Dasar, piawaian dan tata kelola yang dilaksanakan oleh kerajaan GRS yang cacat dan gagal dalam langkah pengurusan aktiviti mencarigali telah mengakibatkan syarikat yang berkaitan dengan ahli kami mengalami kerugian berjuta-juta ringgit,” kata mereka.
Kata mereka lagi, pemegang PL dilarang melakukan kegiatan “perlombongan, pengambilan, pemindahan atau penjualan mineral”, membuatkan mereka tidak mendapat sebarang pendapatan sepanjang tempoh mencarigali.
‘Manipulasi naratif dan fakta’
Mereka juga berkata pemegang PL menanggung sendiri segala kos kegiatan carigali dan tidak diberikan tanah mahupun peruntukan daripada kerajaan negeri.
“Oleh yang demikian, fitnah yang dilemparkan di media sosial terhadap ahli PPGS dengan dilabelkan sebagai kartel adalah tidak benar dan berniat jahat untuk merosakkan imej dan reputasi ahli kami.
“Kami tahu pelaku fitnah ingin mengambil kesempatan ini untuk memanipulasi naratif dan fakta yang sebenar demi cuba menutup kesalahan dan kegagalan pentadbiran kerajaan GRS dalam isu skandal yang terdedah baru-baru ini,” kata mereka lagi.
Ahli jawatankuasa PPGS turut mencabar Hajiji agar membuktikan dakwaan yang dia menerima ugutan.
“Kedua, fitnah berhubung ugutan terhadap Hajiji selaku ketua menteri. Kami mencabar Hajiji menunjukkan bukti bahawa dia telah diugut serta laporan polis yang dibuatnya.”
‘Tak masuk akal’
Menjawab dakwaan berkenaan 21 PL meliputi kawasan seluas 400,000 hektar, PPGS berkata ia tidak masuk akal dari segi kewangan dan logistik.
Menurut mereka, pada kadar yuran RM50 setiap hektar yang dikutip Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), lesen meliputi 400,000 hektar akan menelan kos RM20 juta untuk tempoh dua tahun.
“Walaupun diberikan lesen untuk tempoh 20 tahun, aktiviti mencarigali dalam kawasan seluas 400,000 hektar mustahil dapat diselesaikan dalam tempoh itu.
“Selain itu, setiap kali pembaharuan lesen selepas dua tahun, yuran pengurusan Rm20 juta turut dikenakan. Manakala modal ratusan juta hingga berbilion diperlukan untuk melakukan penerokaan mineral di atas tanah seluas 400,000 hektar tanpa sebarang jaminan bagi risiko atau pemulangan daripada kerajaan negeri seperti yang dinyatakan Hajiji dalam Sidang DUN minggu lepas.
“Justeru, mengarut dakwaan tentang aktiviti mencarigali berhubung keluasan 400,000 hektar tanah kerana ia merupakan perniagaan yang merugikan serta idea yang tidak masuk akal sama sekali.
“Mungkin hanya orang bodoh atau kurang siuman yang percaya terhadap fitnah dan tohmahan yang disebarkan oleh pelaku ‘propaganda’ tersebut,” kata mereka lagi.
PPGS turut menekankan latar belakang profesional ahlinya.
“Majoriti ahli PPGS merupakan pesara pegawai penguatkuasa kanan yang amat memahami undang-undang.
“Jika penglibatan dan urusan kami dalam aktiviti mencarigali mineral adalah salah di sisi undang-undang atau bercanggah dengan kepentingan dan pembangunan Sabah, kami telah lama menarik diri,” kata mereka lagi.
Persatuan itu menyuarakan keyakinan bahawa polis, yang sedang menyiasat laporan dibuat ahlinya di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, akan mengambil tindakan.
“Kami memberi amaran keras kepada pelaku yang menyebarkan fitnah yang kami akan memberi kerjasama penuh kepada polis untuk cari kamu sampai ke lubang cacing,” kata mereka lagi.