Parti Bersama Malaysia (Bersama), yang diterajui oleh ketua umumnya, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, mengariskan beberapa agenda ibarat manifesto yang mempunyai 12 perkara sebagai sebahagian daripada pelancaran kepimpinan baharu semalam.
Ia merangkumi pelbagai isu daripada keselamatan sosial, pendidikan, perumahan dan alam sekitar.
Dalam teks pembukaan agenda mereka, Bersama mendakwa walaupun ada dasar dan program yang mencapai kejayaan sebelum ini, pendekatan sedia ada atau “business as usual” telah menyebabkan Malaysia semakin ketinggalan, masalah ekonomi dan sosial semakin membengkak.
Dakwa Bersama, bahawa BN, PH, dan PN telah menggunakan pemikiran abad ke-20 untuk menyelesaikan masalah dan cabaran abad ke-21.

Sebaliknya, agenda Bersama adalah menyasarkan keberhasilan, bukan setakat aspirasi. Setiap keberhasilan mempunyai kesan berangkai dan berganda kepada rakyat serta pemegang taruh lain.
Menurut mereka, ssaha bersama untuk mencapai keberhasilan ini akan membina budaya kerja baru, produktiviti yang lebih tinggi, keberanian mengambil risiko dan memecah mentaliti silo di semua peringkat masyarakat.
Bantuan bulanan kerajaan
Agenda pertama parti itu adalah untuk mewujudkan sistem keselamatan sosial negara yang mana semua isi rumah Malaysia berhak menerima bantuan bulanan berdasarkan pendapatan isi rumah, umur, dan bilangan tanggungan.
Bantuan itu, kata mereka, harus diagihkan secara automatik tanpa prapendaftaran.
Ini nampaknya bertujuan untuk merealisasikan visi Rafizi tentang bagaimana Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) sepatutnya berfungsi dalam mengagihkan subsidi bersasar.

Sementara itu, mereka juga mahu semua agensi peranancangan kebajikan dan bantuan disatukan di bawah satu Kementerian Keselamatan Sosial.
Pertumbuhan KDNK dan gaji
Bersama mahu ekonomi negara dan gaji rakyat berkembang sebanyak 5 peratus atau lebih setiap tahun.
Melalui campur tangan strategik kerajaan dan insentif, Bersama akan memastikan kenaikan pampasan tahunan bersih (kenaikan gaji kasar ditolak inflasi purata) melebihi 5 perattus yang setara dengan pertumbuhan ekonomi.
Pertanian moden sebagai aktiviti perkilangan utama
Bersama percaya bahawa pertanian boleh diubah menjadi pekerjaan tetap bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia di luar bandar melalui teknik moden dan perindustrian.
Ini mungkin bersandarkan kepada program IPR Intan yang diterajui oleh Rafizi sebagai menteri ekonomi, yang bertujuan membantu peserta mendapat pendapatan tambahan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

Selain itu, Bersama mahu lebih banyak kerjasama awam-swasta untuk menyediakan rumah hijau canggih dan zon pertanian moden di seluruh negara, dengan fokus untuk mengubah negeri seperti Kelantan, Terengganu, dan Sarawak menjadi hab keselamatan makanan negara.
Pendidikan awal universal
Satu lagi agenda adalah untuk mengadakan penjagaan kanak-kanak universal mungkin mengambil pengajaran daripada pendekatan Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani.
Cadangan Bersama adalah untuk mewujudkan sistem yang menyediakan prasekolah percuma untuk kanak-kanak berumur 4 hingga 5 tahun, bagi mengurangkan beban kos sara hidup.
Mereka berkata pelaksanaan bersepadu dan menyeluruh untuk memastikan infrastruktur persekolahan dan tenaga pengajar siap dalam tempoh 10 tahun.

Kerajaan pada masa ini mengendalikan prasekolah percuma atau subsidi tinggi, iaitu Tabika Kemas yang dikendalikan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, prasekolah Kementerian Pendidikan, dan Tabika Perpaduan yang dikendalikan oleh Kementerian Perpaduan Negara.
Sementara itu, pengelompokan umur itu menunjukkan bahawa Bersama akan mengekalkan dasar pendidikan kerajaan untuk Tahun 1 sekolah rendah bermula pada umur enam tahun.
Perumahan generasi baru
Bersama mahu pembinaan perumahan generasi baru yang menggunakan kaedah pasang siap secara besar-besaran, termasuk membangunkan industri perkilangan IBS berskala besar, untuk membetulkan ketidakpadanan dalam pasaran perumahan negara.
Sasaran nasional ialah harga purata rumah untuk golongan pertengahan dan miskin tidak boleh melebihi empat kali ganda jumlah gaji isi rumah tahunan. Sasaran ini memaksa kerajaan membangunkan model perumahan, pemilikan dan sewaan yang lebih luas dan kreatif.
Lebih ramai doktor
Bersama menyasarkan untuk mengurangkan nisbah doktor-pesakit daripada 1:432 kepada 1:300 dengan menyatakan ini adalah keutamaan utama mereka untuk pelaburan awam dalam penjagaan kesihatan.

Mereka berkata nisbah yang lebih rendah ini mesti dicapai menjelang 2030, dan jika dipenuhi boleh membawa kepada penjagaan kesihatan berkualiti lebih baik kerana doktor kurang tertekan.
Kedudukan pendidikan lebih baik
Parti itu mahu sebarang pelaburan atau reformasi melibatkan pendidikan mengutamakan matlamat mencapai kedudukan sukuan teratas untuk Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa).
Dalam kedudukan Pisa terakhir yang dikeluarkan pada 2022, Malaysia menduduki tempat ke-54 daripada 81 negara. Kedudukan terbaharu dijangka diumumkan pada akhir tahun ini.
Pisa menanda aras keupayaan matematik, sains, dan bacaan dalam kalangan remaja berusia 15 tahun.
Autonomi universiti
Satu lagi agenda menyatakan bahawa universiti awam mesti diberi autonomi untuk menyesuaikan penawaran kursus dan kapasiti bagi mencerminkan keutamaan negara dan permintaan pelajar.

Sementara itu, ia juga menggesa supaya ada laluan selari yang teguh untuk lepasan sekolah yang terus bekerja mendapatkan akreditasi peringkat diploma selepas bekerja keras selama beberapa tahun.
Akreditasi sedemikian sudah boleh dicapai melalui skema Akreditasi Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Apel), yang boleh digunakan untuk mengetepikan keperluan kelayakan pendidikan bagi mendaftar dalam sesuatu kursus.
Skema Apel tidak terhad kepada diploma sahaja, malah mereka yang mempunyai pengalaman 25 tahun layak mendaftar dalam program doktor falsafah.
Desentralisasi kuasa
Bersama menyasarkan untuk memindahkan kuasa mengawal selia, melantik, dan mempertanggungjawabkan institusi utama khususnya agensi penguatkuasaan daripada perdana menteri kepada Parlimen.
Mereka juga berhasrat untuk mengadakan pembuatan keputusan terdesentralisasi bagi perolehan besar, untuk mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Merealisasikan NETR
Bersama mahu Malaysia merealisasikan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang diterajui bersama oleh Rafizi dan Nik Nazmi untuk meletakkan negara sebagai hab tenaga hijau.
Mesra perniagaan
Bersama akan mendesak agar Akta anti-Ali Baba digubal untuk mengekang amalan memburu sewa.
Mereka juga berhasrat untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui gabungan dasar, penguatkuasaan, insentif, dan reformasi perolehan awam.

Matlamatnya adalah untuk PKS menyumbang kepada 50 peratus daripada produk domestik kasar, 60 peratus pekerjaan, dan 30 peratus daripada jumlah eksport.
Had lebih rendah untuk pekerja migran
Bersama mahu bilangan pekerja migran di Malaysia dihadkan kepada 5 peratus daripada tenaga kerja negara, untuk mengurangkan pergantungan kepada buruh asing di samping menggalakkan perniagaan berinovasi dan mencipta peluang untuk bakat tempatan.
Mereka mahu ada pangkalan data pekerja kebangsaan untuk menggalakkan majikan mengutamakan bakat tempatan.
Di media sosial, timbul persoalan sama ada agenda ini anti-imigran.
Bagaimanapun, pembantu Rafizi, Farhan Iqbal menolak label itu, dan berkata dasar itu adalah anti-pergantungan kepada buruh asing yang murah.
[Baca agenda penuh Bersama]





