Pendengaran rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC) tberhubung pembebasan Yusoff Rawther di Mahkamah Rayuan ditangguhkan hari ini, berikutan penyampaian notis rayuan yang tidak sempurna.
Terdahulu, timbalan pendakwa raya Aswani Abu Hanipah mengesahkan kepada panel Hakim bahawa AGC cuba mengesan Yusoff melalui pihak berkuasa.
Dia menambah bahawa semakan terbaru dengan Jabatan Imigresen menunjukkan Yusoff, yang adalah bekas penyelidik politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, meninggalkan negara ini pada Jun tahun lepas, tanpa sebarang rekod menunjukkan dia kembali.
Asnawi juga memaklumkan mahkamah bahawa mereka cuba menyerahkan notis rayuan itu sendiri kepada Yusoff dua minggu lepas, dan dimaklumkan, melalui surat, bahawa dia memohon suaka hak asasi manusia di United Kingdom.

Seterusnya, pendakwa raya juga mengesahkan dengan mahkamah bahawa mereka belum menggunakan semua saluran bagi memastikan penyampaian notis rayuan secara peribadi kepada Yusoff.
Peguam Yusoff, Rafique Rashid Ali, sebagai maklum balas, memberitahu mahkamah bahawa dia diarahkan oleh anak guamnya untuk meneruskan perkara itu.
Seterusnya, panel menangguhkan pendengaran hari ini dan memutuskan bahawa pihak pendakwaan mesti menyerahkan sendiri notis rayuan kepada Yusoff.
Terdahulu, kedua-dua perayu dan responden bersetuju bahawa penyampaian notis rayuan secara peribadkendiri merupakan satu kewajipan di bawah undang-undang, mengikut Seksyen 314 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kami mendapati bahawa pengetahuan responden tentang perkara itu, dan arahannya kepada peguamnya untuk meneruskan melalui prosiding dalam talian atau Zoom adalah tidak mencukupi.
“Oleh itu, mahkamah akan menetapkan tarikh pendengaran lain, bagi memastikan perayu (AGC) dapat mengambil langkah munasabah untuk memastikan penyampaian notis rayuan secara kendiri dilaksanakan,” kata Hakim Azman Abdullah yang mengetuai panel itu.

Turut bersidang bersama adalah Hakim Radzi Abdul Hamid dan K Muniandy.
Panel itu kemudian menetapkan 8 September untuk pengurusan kes, bagi AGC mengemas kini mahkamah mengenai usaha mereka menyerahkan notis secara kendiri kepada Yusoff, dalam menentukan langkah seterusnya untuk kes berkenaan.
Semasa prosiding, Radzi memaklumkan pihak-pihak terlibat bahawa pengetahuan Yusoff tentang kes itu, yang diketahui daripada peguamnya, adalah berbeza daripada diserahkan notis rayuan secara kendiri.
Seksyen 314 Kanun Prosedur Jenayah membabitkan ketidakhadiran responden dalam kes jenayah, dengan Seksyen 314(2) membenarkan rayuan diteruskan tanpa kehadiran seseorang itu jika penyerahan secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan secara peribadi.
Rafique memberitahu media, selepas prosiding, bahawa penyerahan secara peribadi mesti disempurnakan dalam kes jenayah.
“Kami memaklumkan mahkamah bahawa Yusoff tahu tentang pendengaran hari ini dan dia tahu tentang rayuan itu.. Kami juga menerima notis rayuan melalui e-mel pada 1 Jun tetapi undang-undang menghendaki notis itu mesti diserahkan secara peribadi kepada responden.

“Jadi pendengaran hari ini ditangguhkan dan apa yang AGC mesti lakukan sekarang, adalah memastikan mereka menyerahkan notis itu secara kendiri kepada Yusoff, dalam tempoh tiga bulan ini.
“Jika mereka (AGC) tidak berjaya, maka Seksyen 314(2) boleh digunakan. Tetapi kita perlu menunggu selama tiga bulan, sehingga tarikh seterusnya, untuk mengetahui perkembangan terkini dan untuk mahkamah menentukan langkah seterusnya,” katanya.
Rafique, pada 10 Jun, memberitahu media bahawa Yusoff memohon suaka hak asasi manusia di United Kingdom, dan tidak akan kembali ke Malaysia atas faktor keselamatan.
Dalam sidang media yang sama, Rafique mengesahkan bahawa Yusoff tidak akan menghadiri prosiding rayuan kerana pasportnya dipegang oleh pihak berkuasa United Kingdom sementara menunggu permohonannya.
Dia selanjutnya berkata bahawa Yusoff memaklumkan kepadanya mengenai permohonan itu pada 1 Jun tahun ini, dan selepas itu peguam berkenaan menulis surat kepada presiden Mahkamah Rayuan mengenai perkembangan terbaharu pada keesokan harinya.
Yusoff, 33, dituduh pada 2024 atas kesalahan memiliki dua pistol tiruan dan mengedar 350 gram ganja.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskannya pada 12 Jun tahun lepas, daripada kedua-dua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
AGC merayu terhadap pembebasan itu empat hari selepas keputusan pembebasan tersebut, yang membawa kepada prosiding hari ini.





