Bella Astillah masih belum memikirkan berkaitan perkahwinannya dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman buat masa ini.
“Saya tidak pasti sama ada semua sudah tahu atau sedar mengenainya, tetapi sekarang fokus utama saya adalah persediaan untuk kes Syed Saddiq pada 30 hari bulan ini.
“Mengenai tarikh pula, sebenarnya saya masih belum membuat keputusan. Seperti yang saya katakan, untuk memikirkan soal tarikh, tempat atau pakaian pun saya masih belum sempat. Saya belum boleh memikirkan perkara-perkara tersebut lagi,” katanya.
Bella berkata demikian dalam rakaman video disiarkan oleh HIBGLAM pada Konsert Bintang Universe: The Dimension yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM), di Shah Alam, semalam.
Pada 25 Jun 2025, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq selepas membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Pada 17 Di 2025, Jabatan Peguam Negara menerusi surat kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan bahawa peguam negara mengarahkan pihak pendakwaan meneruskan rayuan terhadap pembebasan Syed Saddiq dan akan menerima sebarang keputusan mahkamah.
April lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 30 Jun ini untuk menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq daripada pertuduhan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu penolong bendahari Pemuda Bersatu (Armada), melakukan pecah amanah terhadap dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda.
Syed Saddiq, 33, turut berdepan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
Sementara itu, Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah berkata dia percaya orang di sekelilingnya serta orang ramai sentiasa mendoakan yang terbaik untuk mereka.
“Bagi saya, doa itu jauh lebih penting. Selepas itu, kita lihat bagaimana keadaannya nanti.
“Kita ikut sahaja apa yang telah ditentukan, insya-Allah,” kata pelakon dan penyanyi 32 tahun itu.
Dia turut menolak andaian peminat yang menjangkakan 26 Jun 2026—atas alasan ‘tarikh cantik’— sebagai tarikh perkahwinan mereka.
“Tetapi sebenarnya, ia tidak bergantung kepada tarikh (cantik). Seperti yang saya katakan tadi, fokus saya ketika ini adalah kepada kes Syed Saddiq,” kata ibu kepada dua anak itu.





