Ketua Pengarah Penyiaran RTM Ashwad Ismail menafikan dakwaan bekas pemain bola sepak kebangsaan Azlan Johar direhatkan sebagai pengulas sukan stesen itu selepas menyertai PAS.
“Pertama sekali, Azlan Johar tidak direhatkan sebagai pengulas sukan di RTM.
“Sebab, pengulas sukan sempena World Cup ini adalah berdasarkan kepada jemputan,” katanya kepada Malaysiakini.
Ashwad (gambar bawah) turut menjelaskan Azlan tidak mempunyai kontrak yang mengikatnya untuk mengulas semua perlawanan Piala Dunia.

“Dia tak ada kontrak yang mengikat dia untuk mengulas semua perlawanan sebab itu bercanggah dengan prinsip kita untuk jaga hak pundit-pundit lain.
“Kita kena jemput yang lain sama, kita ada ramai pundit. Tak timbul isu hak rampas warga negara.
Tuan Ibrahim kritik keras
“Kita beri ruang menjemput pundit lain,” katanya.
Awal hari ini, PAS mempersoalkan jika Azlan direhatkan selepas menyertai parti itu, dengan Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man melemparkan bidasan keras bahawa dakwaan itu "tanda-tanda PH dah nak mampus."
“Habis saja ulas sukan, beliau dimaklumkan oleh penerbit sukan RTM, beliau direhatkan daripada menjadi pengulas Piala Dunia.
“Takkan kerana dia menyerahkan borang menyertai PAS. Ini sistem demokrasi, terpulang kepada rakyat untuk menyertai mana-mana parti,” katanya melalui rakaman video yang disiarkan di Facebook.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan pula berkata parti itu dukacita selepas menerima perkhabaran berhubung perkara tersebut, yang menurutnya wajar dijelaskan pihak berkaitan.
“PAS ingin tahu tindakan tersebut, jika benar, apakah ia ada kaitan dengan penyertaan Azlan Johar ke dalam PAS sebagaimana yang diisytiharkan di Seremban pada 13 Jun 2026 yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ashwad menjelaskan RTM tetap menjemput Azlan untuk mengulas perlawanan Brazil menentang Morocco walaupun dia sudah maklum dengan penyertaannya ke dalam PAS pada Julai 2025.
Katanya, perkara itu menunjukkan tiada halangan politik dikenakan terhadap Azlan oleh pihak RTM.

“Saya bersetuju dan RTM jemput dia ulas Brazil-Morocco. RTM tak block.
“RTM tetap meneruskan sebagaimana dirancang. Brazil vs Morocco diulas oleh Azlan Johar dan Datuk Dollah Salleh.
“Dekat mana RTM merehatkan beliau? Sebab dia tetap muncul walaupun malam sebelumnya diumum besar-besaran,” katanya.
Ashwad berkata pihaknya sudah lama mengenali Azlan melalui kerjasama dalam bidang sukan dan penyiaran, serta melihatnya sebagai bekas pemain bola sepak negara.
Katanya, pendirian atau pilihan politik Azlan tidak menjadi pertimbangan RTM dalam menjemputnya sebagai pengulas.
“Umum mengetahui kami kenal Azlan Johar ni bukan baru semalam, kita kenal dia rapat sebab dia bekerjasama dengan pihak Sukan RTM dari lama.
“Dia sertai PAS dari lama, itu terpulang dia, pendirian politik. Kita sebagai RTM tengok dia sebagai bekas pemain bola sepak negara.
“Sebab itu dia muncul Brazil vs Morocco. Itu jelas,” kata Ashwad lagi.
Azlan diumumkan menyertai PAS dalam satu majlis di Seremban pada 13 Jun lalu.
Sebagai rekod, Negeri Sembilan dijadual mengadakan pilihan raya negeri pada 1 Ogos ini, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai.
Selain Azlan, majlis ceramah perdana itu turut menyaksikan pengumuman 14 nama lain.
Antaranya bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim; bekas exco Perak merangkap bekas naib presiden Bersatu, Hamidah Othman; bekas setiausaha sulit Anwar Ibrahim, Rahimi Othman; serta penyertaan semula bekas pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rosli Yaakop, yang pernah menyertai Amanah.





