Salah seorang ahli parlimen yang dipecat Bersatu hari ini mempertahankan tindakan Abdul Hadi Awang menaikkan semula Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang menggantikan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurut Saifuddin Abdullah semalam Abdul Hadi bercakap atas kapasiti sebagai Presiden PAS dan menyatakan pendirian rasmi parti tersebut – yang mempunyai jumlah anggota parlimen terbesar dalam blok pembangkang.
Justeru, kata Saifuddin, Ahli Parlimen Marang itu memang berhak menyatakan pendiriannya seperti yang dilakukan semalam.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menegaskan, sejak awal lagi memang PAS tekal memberikan sokongan kepada Hamzah sebagai ketua pembangkang, malah mahu ia dikekalkan walaupun selepas dipecat Bersatu.
“Pengumuman tersebut dibuat selepas PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu.
“Keputusan itu pula dibuat selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berkaitan. Maka, landskap dan dinamika dalaman pembangkang telah berubah berbanding keadaan sebelumnya.
“Hakikatnya pada hari ini, 43 ahli parlimen PAS dan 19 ahli parlimen yang menyokong Hamzah mahu Hamzah terus kekal sebagai ketua pembangkang.
“Ini bermakna kira-kira 80 peratus ahli parlimen dalam blok pembangkang menyokong kedudukan beliau.
“Oleh itu, tidak tepat untuk mendakwa PAS membelakangkan PN. Sebaliknya, PAS hanya menyatakan pendirian yang selari dengan kehendak majoriti besar ahli parlimen pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan fakta angka
Semalam Abdul Hadi mengumumkan Hamzah disepakati untuk dilantik semula sebagai ketua pembangkang. Asalnya Hamzah memang memegang jawatan tersebut namun timbul desakan dia digantikan selepas dipecat Bersatu pada 13 Feb lalu.
Untuk seketika jawatan itu menjadi tanda tanya sebelum Ahmad Samsuri – yang juga Menteri Besar Terengganu sekali gus Ahli Parlimen Kemaman – diumum menggantikan Hamzah.
Pelantikan Ahmad Samsuri diumum pada 16 Mei lalu.
Semalam pemimpin Bersatu mempersoalkan kewajaran Abdul Hadi mengumumkan Hamzah sebagai ketua pembangkang kerana ia tidak disepakati terlebih dulu oleh Majlis Tertinggi PN.

Turut menjadi persoalan ialah kedudukan Abdul Hadi yang langsung tiada jawatan dalam PN namun membuat pelbagai keputusan yang dilihat lebih berkuasa berbanding Ahmad Samsuri selaku pengerusi gabungan tersebut.
Saifuddin berkata jika keputusan mengenai ketua pembangkang dibuat melalui demokrasi pun, Hamzah masih terpilih berdasarkan suara majoriti blok itu yang dikuasai mereka.
“Ironinya, pihak yang menuduh PAS membelakangkan PN gagal menjelaskan siapakah calon lain yang mempunyai sokongan lebih besar daripada Hamzah dalam kalangan ahli parlimen pembangkang.
“Dalam mana-mana sistem demokrasi berparlimen, legitimasi datang daripada sokongan majoriti, bukannya daripada persepsi atau sentimen politik.
“Justeru, isu sebenar bukanlah sama ada Haji Hadi membelakangkan PN atau tidak.
“Isu sebenar ialah sama ada majoriti ahli parlimen pembangkang masih menyokong Hamzah sebagai ketua pembangkang atau sebaliknya.
“Berdasarkan angka yang ada, jawapannya jelas: ya,” katanya.





